
KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Impian menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah sebuah kejohanan golf wanita berprestij setaraf Masters menjadi aspirasi jangka panjang ‘The Ladies’ yang kembali untuk edisi kedua di The Mines Resort & Golf Club, dari 1 hingga 3 Oktober ini.
- Pengasas Tan Sri Lee Kim Yew mahu 'The Ladies' jadi kejohanan berprestij Malaysia dengan pengiktirafan global.
- Edisi kedua mengekalkan hadiah keseluruhan RM100,000 untuk bina pengalaman, keyakinan dan laluan ke peringkat profesional.
- Slogan "IT COULD BE YOU" menyasarkan pemain muda dan baharu untuk berani bermimpi serta melihat golf sebagai kerjaya profesional.
- Penganjur menyasarkan perkembangan menjadi acara tahunan lebih kukuh, menarik penyertaan kompetitif dan memperluaskan profil ke luar Malaysia.
Menurut satu kenyataan media The Mines Resort & Golf Club hari ini, kejohanan itu diasaskan oleh pengasasnya, Tan Sri Lee Kim Yew, dengan visi menyediakan lebih banyak peluang kompetitif kepada pemain golf wanita tempatan sebelum berkembang sebagai kejohanan bertaraf serantau dan antarabangsa.
Tan Sri Lee menyatakan, beliau mahu ‘The Ladies’ menjadi sebuah kejohanan berprestij yang berasal dari Malaysia dan mempunyai pengiktirafan global.
“Kami berharap suatu hari nanti, di Barat ada kejohanan yang sangat terkenal dipanggil ‘Masters’. Di Timur pula, dari Malaysia, ada kejohanan yang sangat terkenal dipanggil ‘The Ladies’. Itulah visi kami,” katanya.
Edisi kedua ‘The Ladies’ mengekalkan jumlah hadiah keseluruhan RM100,000, dengan penganjur mahu menyediakan platform lebih kukuh untuk pemain golf wanita Malaysia membina pengalaman, keyakinan dan laluan ke peringkat profesional.
Menurut kenyataan itu, The Mines mempunyai sejarah panjang dalam pembangunan golf wanita apabila pernah menjadi tuan rumah Women’s World Cup of Golf pada 2000 sebelum kembali memberi tumpuan kepada golf wanita menerusi penganjuran sulung ‘The Ladies’ pada 2025.
Liyana Durisic muncul juara edisi pertama selepas menamatkan saingan 54 lubang dengan catatan dua bawah par, sekali gus membawa pulang hadiah RM17,500.
‘The Ladies’ turut membawa slogan “IT COULD BE YOU”, yang menyasarkan pemain golf wanita muda dan baharu untuk berani memasang impian menjadi juara serta melihat golf sebagai laluan kerjaya profesional.
Penganjur menyasarkan kejohanan itu berkembang sebagai acara tahunan yang lebih kukuh, menarik penyertaan lebih kompetitif dan secara berperingkat memperluaskan profilnya ke luar Malaysia.