
NILAI, 22 Ogos – Skuad berbasikal trek Terengganu mencipta sensasi apabila bukan sahaja menamatkan penantian lapan tahun untuk merangkul pingat emas acara kejar-mengejar berpasukan wanita pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, bahkan turut memperbaharui rekod kebangsaan.
- Kuartet Terengganu: Dahlia Hazwani, Ameera Alya, Nur Aierin Wadhiah, dan Nur Aieris Madhiah Mohd Adni mencatat masa 4:42.878 untuk 4,000 meter.
- Menewaskan pencabar terdekat Johor yang meraih perak; Kedah memperoleh gangsa dalam acara berpasukan wanita.
- Aieris sifatkan kejayaan di luar jangka dan amat berbangga dapat memecahkan rekod untuk Terengganu.
- Persiapan lebih tumpu acara lebuh raya dan latihan pusat di Thailand, namun dua tahun latihan bersama tingkatkan keserasian.
Dalam saingan di Velodrom Nasional Malaysia, kuartet Terengganu yang dibarisi Dahlia Hazwani Hasyim, Ameera Alya Md Zahirrudin serta pasangan kembar, Nur Aierin Wadhiah dan Nur Aieris Madhiah Mohd Adni mencatat masa 4 minit 42.878 saat (4:42.878s) dalam perlumbaan sejauh 4,000 meter (16 pusingan).
Catatan itu memadamkan rekod kebangsaan sebelum ini, iaitu 4:47.317s, sekali gus menewaskan pencabar terdekat, Johor (4:47.522s) yang membawa pulang perak, manakala gangsa menjadi milik Kedah.
Ketika ditemui media, Nur Aieris Madhiah menyifatkan kejayaan itu sebagai sesuatu yang di luar jangkaan, terutama selepas Terengganu terpaksa menunggu lapan tahun untuk kembali memecahkan rekod kebangsaan.
“Saya rasa sangat bangga sebab dapat cipta rekod baharu untuk Terengganu. Selepas lapan tahun rekod tidak dipecahkan, akhirnya kami berjaya melakukannya hari ini.
“Sebenarnya kami tidak menjangkakan pun boleh pecahkan rekod tahun ini, mungkin ini memang rezeki kami semua,” katanya.
Lebih menarik, Aieris mendedahkan persiapan skuad berkenaan sebelum temasya lebih banyak tertumpu kepada acara lebuh raya berbanding trek, termasuk ketika menjalani kem latihan pusat di Thailand.
Namun, pengalaman dan keserasian empat pelumba yang sudah berlatih bersama selama dua tahun membantu mereka menampilkan kayuhan terbaik ketika diperlukan.
“Persiapan kami untuk trek tidak banyak kerana kami sebenarnya lebih fokus kepada acara lebuh raya. Tetapi kami bawa semangat kemenangan daripada acara berpasukan lebuh raya SUKMA baru-baru ini ke dalam velodrom hari ini.
“Gandingan empat orang ini sudah berlatih bersama selama dua tahun dan pernah beraksi dalam dua kejohanan besar kebangsaan sebelum ini,” katanya.
Aieris yang turut beraksi dalam acara keirin mengakui terpaksa mengurangkan tenaga dalam saingan individu berkenaan, demi memastikan fokus sepenuhnya diberikan kepada misi meraih emas dan memecahkan rekod kebangsaan dalam acara pursuit berpasukan wanita.
“Sangat berbaloi saya ‘jaga kaki’ masa pusingan keirin tadi semata-mata untuk beri fokus sepenuhnya kepada ‘Team Pursuit’.
“Kalau suruh pilih antara keirin dengan ‘Team Pursuit’, saya pilih ‘Team Pursuit’ sebab apabila menang, kami menang dan raikan kejayaan ini bersama-sama,” katanya.
Sementara itu, Johor menguasai acara kejar-mengejar berpasukan lelaki apabila kuartetnya yang dibarisi Muhamad Anas Rayyan Samsu Azhar, Muhammad Danish Hakimi Jamarosazman, Muhammad Faris Iskandar Saiful Bahari dan Muhammad Nazirul Aniq Abd Rahman meraih emas.
Johor dinobatkan juara selepas mencatat masa 4:34.790s untuk menewaskan kuartet Perak (Amir Dani Amir Adli, Muhamad Amar Imran Ismail, Muhammad Farid Syameer Hendry dan Teoh Quan Sun) yang merangkul perak dengan catatan 4:38.200s.