ACLE: JDT tekad manfaat aksi di SSI

Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz berpendapat perlawanan menentang Sanfrecce Hiroshima sebagai ujian getir untuk skuad Harimau Selatan./BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 3 Mac – Johor Darul Ta’zim FC (JDT) bertekad memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila berdepan Sanfrecce Hiroshima pada aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • JDT mahu manfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Sultan Ibrahim untuk raih keputusan positif pada perlawanan pertama pusingan 16 ACLE.
  • Pasukan akan menekankan disiplin, intensiti tinggi dan kawalan permainan menghadapi Sanfrecce Hiroshima yang pantas dalam transisi.
  • Xisco percaya mentaliti, kekuatan dan sokongan penyokong penting untuk menamatkan perlawanan awal dan tingkatkan peluang mara.

Skuad Harimau Selatan dijangka menggunakan pendekatan lebih berdisiplin dengan intensiti tinggi bagi memastikan keputusan memihak kepada mereka.

Ia sebagai usaha untuk mendapatkan bekalan selesa menjelang aksi timbal balik, sekali gus mengukuhkan peluang mara ke suku akhir saingan kelab elit Asia itu.

Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz menyifatkan pertembungan berkenaan sebagai ujian getir dan menuntut anak buahnya mengawal rentak permainan, terutama berdepan kelab Jepun yang terkenal dengan transisi serangan pantas.

“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Paling penting kami perlu mengawal permainan dan memahami setiap fasa. Mereka pasukan yang kuat dengan barisan pemain berkualiti, khususnya di bahagian serangan,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini, hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut yakin skuad Harimau Selatan memiliki kemampuan untuk menyahut cabaran tersebut.

“Kami perlu mempamerkan mentaliti, intensiti dan kekuatan sepanjang 90 minit. Dengan sokongan penyokong yang menjadi ‘pemain ke-12’, kami mampu memberikan aksi terbaik. Jika ada peluang, kami perlu menamatkan permainan lebih awal,” kata pengendali kelahiran Sepanyol itu.

Sementara itu, ketua jurulatih Sanfrecce Hiroshima, Bartosch Gaul menjangkakan aksi sengit, namun percaya anak buahnya sudah membuat persiapan rapi bagi menghadapi perlawanan pertama pusingan 16 terbaik itu.

Menurut beliau, JDT mempunyai kekuatan tersendiri terutama ketahanan mental meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Harimau Selatan tewas tipis 1-2 menentang kelab Liga 1 Jepun (Liha J1) itu pada aksi kumpulan Zon Timur di Stadium Edion Peace Wing, Hiroshima pada 10 Februari lepas ketika beraksi dengan 10 pemain pada awal babak pertama. – BERNAMA