
JAKARTA, 9 Ogos – Taman Negara Gunung Bromo ditutup sementara untuk semua aktiviti pelancongan, menurut pihak pengurusan susulan kebakaran hutan yang berlaku sejak Isnin.
- Kebakaran memusnahkan kira-kira 176 hektar di Gunung Bromo.
- Penutupan dilakukan untuk memastikan keselamatan pengunjung dan penduduk sekitar.
- Pengunjung yang sudah beli tiket boleh menukar tarikh atau memohon bayaran balik.
- Agensi Pengurusan Bencana Jawa Timur giat memadam kebakaran, punca belum didedahkan dan tiada korban dilaporkan.
Menerusi hantaran di Instagram rasmi, pihak pengurusan memaklumkan penutupan itu telah berkuat kuasa mulai semalam sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan.
“Kebakaran telah memusnahkan kawasan seluas kira-kira 176 hektar di Gunung Bromo yang menjadi destinasi pelancongan terkenal.
“Penutupan itu langkah penting bagi memastikan keselamatan pengunjung dan penduduk sekitar,”menurut hantaran berkenaan.
Bagi pengunjung yang telah membeli tiket masuk boleh menukar tarikh masuk atau memohon bayaran balik.
Dalam pada itu, Agensi Pengurusan Bencana Jawa Timur memaklumkan pihak berkuasa giat menjalankan operasi pemadaman.
Rakaman yang dimuat naik pihak pengurusan taman juga menunjukkan kebakaran telah merebak di sepanjang lereng gunung.
Setakat ini juga pihak berkuasa masih belum mendedahkan punca kebakaran dan tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.-REUTERS