DBKL hidupkan semula padang dan ruang awam untuk semua golongan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh / RTM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahu menghidupkan semula padang dan ruang awam di ibu negara supaya dapat dimanfaatkan semua lapisan masyarakat, termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlawanan persahabatan antara MAFA dan pasukan DBKL di Dataran Merdeka mempromosi akses sukan kepada semua.
  • Aktiviti sukan di ruang awam menggalakkan gaya hidup aktif dan memastikan kemudahan dimanfaatkan masyarakat.
  • DBKL mahu menghidupkan semula padang untuk semua golongan tanpa mengira usia atau keupayaan fizikal.
  • Projek Tongkat bersama MAFA bantu pemain OKU pulih, kembali aktif dan berpeluang mewakili negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata usaha itu diterjemahkan menerusi penganjuran perlawanan bola sepak persahabatan antara Persatuan Orang Kudung Malaysia (MAFA) dan pasukan DBKL di Dataran Merdeka, hari ini.

Katanya, penggunaan ruang awam menerusi aktiviti sukan bukan sahaja dapat menggalakkan gaya hidup aktif, malah memastikan kemudahan yang disediakan di ibu negara benar-benar dimanfaatkan masyarakat.

“Kita mahu menghidupkan semula semua padang kita untuk semua golongan, tidak kira muda, tua, OKU atau tidak,” katanya kepada media selepas menyaksikan perlawanan berkenaan di Dataran Merdeka, di sini.

Beliau berkata penganjuran perlawanan itu turut membuka ruang kepada masyarakat dan pelancong untuk melihat sendiri kemampuan pemain bola sepak kudung, sekali gus membuktikan kemudahan sukan boleh menjadi ruang penyatuan tanpa mengira status fizikal.

Menurutnya, sebahagian pemain OKU berkenaan pernah melalui pengalaman sukar termasuk kemalangan dan kehilangan anggota badan sehingga ada yang mengalami kemurungan.

“Menerusi Projek Tongkat, mereka diberi peluang untuk kembali aktif bermain bola sepak dan seterusnya mewakili negara,” katanya.

Projek Tongkat ialah inisiatif kesedaran dan sokongan terhadap sukan bola sepak kudung (amputee football) yang dilaksanakan bersama MAFA bagi memperkasa golongan OKU menerusi sukan.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.