
KUALA LUMPUR, 29 Mei – Penyerang muda negara, Abdul Rahman Daud memilih untuk membuka lembaran baharu dalam kariernya selepas mengumumkan perpisahan dengan Selangor FC selepas empat musim bersama kelab berkenaan.
- Umum keputusan menerusi Instagram, menegaskan keputusan meninggalkan pasukan bukan mudah.
- Kini mahu mencari cabaran baharu untuk memastikan karier terus berkembang ke tahap lebih tinggi.
- Mengucapkan terima kasih kepada pengurusan dan staf kejurulatihan atas bimbingan serta sokongan.
- Cemerlang di Liga A1 Semi-Pro, penjaring kedua terbanyak musim ini dengan 24 gol; dilaporkan hampir sertai Negeri Sembilan FC.
Pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) negara itu membuat pengumuman tersebut menerusi satu hantaran di Instagram sambil menyifatkan keputusan meninggalkan Selangor bukan sesuatu yang mudah.
Dalam kenyataan itu beliau menyatakan kini mahu mencari cabaran baharu bagi memastikan kariernya terus berkembang ke tahap lebih tinggi.
“Saya telah membuat keputusan untuk terus mengejar impian saya di kelab lain dan sejujurnya ini antara keputusan paling sukar pernah saya buat.
“Tetapi demi perkembangan diri dan karier saya, saya rasa inilah masa yang tepat,” menurut hantaran itu.
Dalam pada itu, Abdul Rahman turut meluahkan penghargaan kepada pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan Selangor FC yang banyak membantu sepanjang tempohnya bersama pasukan itu.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Selangor FC dan semua staf kejurulatihan yang banyak membimbing serta membantu saya sepanjang empat musim di sini.
“Terima kasih atas kepercayaan, sokongan dan segala ilmu yang diberikan kepada saya,” tambah hantaran itu.
Abdul Rahman sebelum ini tampil cemerlang dalam saingan Liga A1 Semi-Pro apabila muncul penjaring kedua terbanyak musim ini dengan 24 gol. Beliau kini dilaporkan semakin hampir menyertai Negeri Sembilan FC bagi menghadapi musim baharu.