5,632 guru CoS lantikan tetap terima penempatan Disember ini, pengambilan ikut keperluan

Foto Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 November – Pengambilan guru secara kontrak ‘Contract of Service’ (CoS) bukan keutamaan Kementerian Pendidikan; sebaliknya dilaksana mengikut keperluan khusus bagi menampung kekosongan guru dalam bidang tertentu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keutamaan pengambilan guru diberikan kepada graduan PISMP dari IPG, diikuti graduan universiti awam yang memiliki kelayakan ikhtisas pendidikan.
  • Pengambilan COS khas melibatkan graduan tanpa kelayakan ikhtisas bagi keperluan tertentu, termasuk mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
  • Guru lantikan COS perlu melengkapkan kelayakan ikhtisas pendidikan sepanjang tempoh kontrak melalui pengajian di IPG atau universiti lain.
  • Seramai 5,632 pegawai COS lantikan 2023 menerima tawaran pelantikan tetap, manakala 179 masih belum memenuhi syarat ditetapkan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, keutamaan pengambilan guru diberikan kepada graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dari Institut Pendidikan Guru (IPG), diikuti graduan universiti awam yang memiliki kelayakan ikhtisas pendidikan.

“Apabila kita perlu mengambil guru secara CoS daripada kalangan graduan yang tidak mempunyai kelayakan ikhtisas, ia adalah dalam keadaan tertentu. Antaranya, pada tahun 2025, kita mengambil CoS khas untuk Sarawak.

“Pada tahun 2026, kita mengambil CoS khas bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di peringkat sekolah menengah dan sekolah rendah.

“Pada tahun ini 2026, kita turut mengambil CoS khas bagi kohort enam pada tahun 2027 untuk menampung kemasukan anak anak kita dalam kohort enam tahun ke sekolah rendah.

“Kesemua mereka yang diambil ini merupakan graduan universiti, tetapi tidak mempunyai kelayakan ikhtisas pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Aminolhuda Hassan (Sri Gading) yang meminta penjelasan mengenai keperluan pengambilan guru kontrak yang terdiri daripada graduan bukan bidang pendidikan.

Wong berkata kesemuan semua graduan yang dilantik melalui kaedah CoS perlu melengkapkan kelayakan ikhtisas pendidikan sepanjang tempoh kontrak masing-masing, sama ada menerusi pengajian di IPG atau universiti lain.

Menjawab soalan asal Aminolhuda Hassan (Sri Gading), Wong memaklumkan seramai 5,632 pegawai perkhidmatan pendidikan lantikan COS bagi tahun 2023 telah menerima surat tawaran pelantikan tetap daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Jelasnya, kesemua mereka akan menerima arahan penempatan secara serentak bersama pegawai perkhidmatan pendidikan lain pada Disember ini.

Bagaimanapun, seramai 179 pegawai lantikan CoS masih belum memenuhi syarat ditetapkan sebelum boleh dipertimbangkan untuk pelantikan tetap.

Mengulas mengenai guru bagi kategori lantikan kontrak interim, seramai 29,784 pegawai perkhidmatan pendidikan telah dilantik bagi tempoh 30 September 2024 hingga 31 Ogos 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.