
KLANG, 23 November – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor akan terus memantau urusan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir serta masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
- Kerajaan negeri menyelaras bantuan bersama JPN bagi memastikan calon terjejas dapat menduduki peperiksaan mengikut jadual.
- Bantuan pengangkutan akan diuruskan untuk pelajar yang terkesan akibat banjir.
- Kerajaan negeri turut membantu proses pembersihan kediaman penduduk terjejas banjir.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan komitmen kerajaan negeri menerusi penyelarasan yang dibuat bersama JPN bertujuan memastikan calon terlibat dapat menduduki peperiksaan seperti yang dijadualkan.
“Menerusi lawatan saya di PPS sebelum ini, ada beberapa pelajar yang terkesan dan kita akan urus perkara berkaitan seperti pengangkutan.
“Keadaan banjir setakat ini juga semakin baik dan kita akan lihat untuk membantu proses pembersihan kediaman penduduk terjejas banjir,”katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Program Nutrisi Selangor (NutriSEL) SPM di MITS Alam Impian di sini.
Beliau terdahulu menyerahkan bakul makanan kepada 50 calon SPM di MITS Alam Impian selain bantuan berjumlah RM50,000 bagi membaik pulih surau dan fasiliti sukan sekolah tersebut.