
MANAMA, 22 November – Bahrain memaklumkan dua individu cedera dalam serangan Iran ke atas sebuah tapak perindustrian awam di negara itu pada Sabtu.
- Seorang warga Bahrain OKU mengalami kecederaan, dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan di hospital.
- Seorang penduduk Pakistan cedera, kini berada dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di hospital.
- Arab Saudi membidas Tehran atas pencerobohan kejam terhadap negara-negara Teluk; IRGC mendakwa menyasarkan kemudahan Amerika Syarikat di Bahrain.
“Susulan serangan terbabit, seorang warga Bahrain yang kurang upaya (OKU) mengalami kecederaan,” kata Kementerian Dalam Negeri Bahrain menerusi hantaran di platform X.
“Keadaannya dilaporkan stabil. Seorang penduduk warga Pakistan turut cedera dan kini berada dalam keadaan kritikal. Kedua-dua mangsa sedang menerima rawatan di hospital,” tambahnya.
Sementara itu, Arab Saudi pada Ahad membidas Tehran atas pencerobohan kejam yang berterusan terhadap negara-negara Teluk.
Menerusi kenyataan yang disiarkan di X, Kementerian Luar Arab Saudi mengutuk sekerasnya serangan Iran ke atas kemudahan perindustrian awam di Bahrain.
Bagaimanapun, Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) berulang kali menyatakan pihaknya hanya menyasarkan kemudahan milik Amerika Syarikat (AS) di Bahrain.- AFP