
SHENZEN, 20 November – China, Amerika Syarikat (AS) dan Rusia mencapai persetujuan bersama menerusi Deklarasi Ke Arah Keamanan selepas pemimpin ketiga-tiga negara mengadakan sidang kemuncak tiga hala buat pertama kali di Shenzhen, China.
- Deklarasi menyeru reformasi PBB dan menegaskan agar Mahkamah Jenayah Antarabangsa tidak menyalahgunakan bidang kuasa dan menghormati kekebalan pegawai negara.
- Ketiga-tiga negara bersetuju mengadakan dialog bagi mengurangkan risiko nuklear dan mencegah percambahan serta melindungi keselamatan strategik antarabangsa.
- Mereka merancang meningkatkan bekalan dan pengeluaran produk petroleum bertapis serta memastikan aliran tenaga kekal stabil.
Deklarasi itu menggariskan hasrat bersama untuk mereformasi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), selain memastikan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) tidak menyalahgunakan bidang kuasanya.
Presiden China, Xi Jinping, Presiden AS, Donald Trump dan Presiden Rusia, Vladimir Putin turut bertukar pandangan mengenai situasi antarabangsa semasa serta komited mengekalkan kestabilan strategik dan keselamatan antarabangsa.
Menurut kenyataan White House, ketiga-tiga pemimpin turut bersetuju bahawa prinsip persetujuan negara dan penghormatan terhadap kekebalan pegawai negara adalah penting.
Reformasi PBB dan ICC
Deklarasi bersama itu menggariskan komitmen ketiga-tiga negara untuk mereformasi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) supaya organisasi berkenaan dapat menangani cabaran global dengan lebih berkesan serta memenuhi matlamat asasnya dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Mereka turut menegaskan kepentingan prinsip persetujuan negara dan penghormatan terhadap kekebalan pegawai negara, selain bersetuju bahawa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan badan seumpamanya tidak seharusnya menyalahgunakan bidang kuasa.

Dialog kurangkan risiko nuklear
Ketiga-tiga negara turut bersetuju mengadakan dialog bagi mengurangkan risiko nuklear dan mencegah percambahan senjata nuklear.
Isu itu dibincangkan selepas perjanjian dua hala AS-Rusia mengenai senjata nuklear tamat pada Februari lalu.
China sebelum ini berpendirian bahawa AS dan Rusia perlu mengurangkan simpanan senjata nuklear mereka yang jauh lebih besar sebelum Beijing bersetuju mengadakan rundingan mengenai arsenal nuklearnya.
Bekalan dan kestabilan tenaga
Kenyataan bersama itu turut menyatakan rancangan ketiga-tiga negara untuk meningkatkan bekalan dan pengeluaran produk petroleum bertapis.
Mereka juga menegaskan kepentingan memastikan aliran tenaga kekal stabil.
Reaksi pemimpin eropah
Sidang kemuncak itu mencetuskan kebimbangan bahawa ketiga-tiga pemimpin berhasrat membahagikan dunia kepada lingkungan pengaruh masing-masing, termasuk membuat keputusan berkaitan Ukraine tanpa mengambil kira pandangan Kyiv atau Eropah.
Canselor Jerman, Friedrich Merz menyifatkan pertemuan Trump, Xi dan Putin sebagai sekadar sesi bergambar, manakala Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata pertemuan itu tidak akan membawa kepada penyusunan semula dunia.
Bagaimanapun, Trump berkata beliau mahu mencapai persetujuan mengenai Ukraine bersama Eropah, menurut utusan khas AS, Jared Kushner.

Pertemuan tiga hala dan isu Ukraine
Sidang kemuncak itu berlangsung ketika konflik Rusia-Ukraine masih berlarutan, Presiden AS berdepan perkembangan konflik di Asia Barat dan China.
Sebelum sidang kemuncak tiga hala itu, Trump dan Putin turut mengadakan pertemuan. Pertemuan itu merupakan pertemuan pertama mereka sejak Ogos 2025.
Trump kemudian mengadakan perbincangan secara bersemuka dengan Xi, manakala Putin dan Xi telah mengadakan pertemuan antara mereka buat kali ke-50.
Trump turut memaklumkan akan mengadakan sidang media pada Jumaat bagi mengulas lawatannya ke China. – AFP