EWS lengkapi saluran amaran sedia ada

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 22 November – Sistem Amaran Awal (EWS) yang dibangunkan berperanan melengkapi saluran penyampaian amaran sedia ada, sekali gus memperkukuh keselamatan dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi bencana.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkhidmatan SMS masih digunakan supaya pengguna tanpa peranti serasi turut menerima notifikasi kecemasan.
  • Keperluan minimum peranti: iPhone 11 dengan iOS 27.2, Android 12 ke atas, Huawei EMUI 16, tertakluk pengesahan teknikal.
  • EWS menggunakan Cell Broadcast System untuk menghantar amaran serentak kepada telefon mudah alih serasi dalam kawasan geografi tertentu.
  • Ujian simulasi EWS 23 November di Bangunan Parlimen dan ujian serentak seluruh negara 29 November untuk pengesahan serta penerangan kepada masyarakat.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkhidmatan khidmat pesanan ringkas (SMS) masih digunakan bagi memastikan pengguna yang tidak memiliki peranti dengan spesifikasi bersesuaian turut menerima maklumat dan notifikasi kecemasan.

Menurutnya, pengguna telefon pintar yang tidak memenuhi spesifikasi minimum bagi sistem amaran awal bencana baharu tidak akan tercicir daripada menerima maklumat kecemasan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kebimbangan pengguna susulan kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menggesa orang ramai mengemas kini sistem operasi telefon mudah alih masing-masing sebagai persediaan menerima amaran kecemasan menerusi EWS.

“Saluran pemakluman menggunakan SMS masih tersedia dan NADMA boleh melaksanakannya pada bila-bila masa. Kita akan meneliti kesesuaiannya.

“Di kawasan tertentu, khususnya lokasi berisiko banjir di sepanjang pesisir dan jajaran sungai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut memasang sistem amaran siren. Oleh itu, sistem yang kita sediakan ini melengkapi sistem amaran sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan Program MYReaders 2026 di ibu negara.

Terdahulu, MCMC menerusi kenyataan memaklumkan keperluan minimum peranti bagi menyokong penerimaan amaran EWS ialah iPhone 11 dan model lebih baharu yang menggunakan iOS 27.2 atau versi terkini, telefon Android 12 dan ke atas serta peranti Huawei yang menggunakan EMUI 16 atau versi terkini, tertakluk kepada pengesahan teknikal akhir.

EWS menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang membolehkan amaran kecemasan dihantar secara serentak kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi yang dikenal pasti.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi memaklumkan ujian simulasi EWS akan dijalankan di kawasan Bangunan Parlimen pada 23 November ini, sebelum ujian penerimaan amaran secara serentak di seluruh negara pada 29 November.

“Ujian ini akan membolehkan Ahli Parlimen melihat sendiri bagaimana sistem berkenaan berfungsi dan menerima amaran pada telefon masing-masing.

“Dengan itu, apabila kembali ke kawasan masing-masing, mereka dapat menjelaskan kepada masyarakat mengenai sistem amaran yang dibangunkan MCMC,” katanya.MC,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.