Air pasang besar: MBDK pergiat mitigasi banjir, penduduk diminta waspada

Datuk Abd Hamid Hussien / Facebook: Majlis Bandaraya Diraja Klang

KLANG, 22 November- Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sedang mempergiat langkah mitigasi banjir susulan risiko banjir kilat yang meningkat berikutan hujan lebat serentak dengan fenomena air pasang besar.

RINGKASAN BERITA AI
  • MBDK arah pembersihan kolam takungan dan penyelenggaraan sistem perparitan untuk kurangkan kejadian banjir di kawasan bandar.
  • Fenomena air pasang besar menyukarkan pelepasan air ke sungai atau laut, meningkatkan kebarangkalian air bertakung.
  • Penduduk kawasan berisiko dinasihat menyimpan dokumen, peralatan dan barangan berharga di tempat lebih tinggi.

Datuk Bandar Diraja Klang, Datuk Abd Hamid Hussien berkata hujan lebat dan kapasiti sistem perparitan yang terhad antara faktor menyumbang kepada kejadian banjir kilat di kawasan bandar di sini.

Beliau berkata keadaan lebih mencabar apabila fenomena air pasang besar menyebabkan aliran air dari kawasan perumahan dan bandar sukar dilepaskan ke sungai atau laut, sekali gus meningkatkan risiko air bertakung.

Sebagai langkah persediaan, MBDK mengarahkan kerja pembersihan kolam takungan dilaksanakan, selain memastikan sistem perparitan diselenggara dengan baik.

“Untuk persediaan, kita telah mengarahkan pihak pemaju menjalankan kerja-kerja pembersihan kolam takungan sebagai alternatif bagi memastikan air dari kawasan pembangunan tidak terus mengalir ke sungai, sebaliknya ditakung terlebih dahulu sebelum dialirkan keluar.

“Kita juga mengarahkan kontraktor membersihkan sistem perparitan supaya lebih banyak air dapat ditampung dan kejadian banjir di kawasan bandar dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan peserta acara larian lima kilometer sempena Royal Klang Marathon di sini, hari ini.

Dalam pada itu, penduduk yang tinggal di kawasan berisiko air pasang besar dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menyimpan dokumen penting, peralatan dan barangan berharga di tempat lebih tinggi bagi mengelakkan kerosakan sekiranya berlaku banjir.

Usaha mitigasi turut dilaksanakan secara berperingkat termasuk pembesaran sistem saliran serta pembinaan kolam takungan bawah tanah di Jalan Tengku Kelana yang dijangka siap pada Disember ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.