
KUALA LUMPUR, 19 November – Usaha membantu pemulihan atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin yang kehilangan tangan kanan akibat kemalangan motosikal pada Isnin lalu, akan dibincangkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).
- Pertimbangan rawatan susulan di PERKESO Melaka selepas selesai rawatan di HKL serta keperluan sokongan keluarga.
- Keadaan beliau stabil, namun perlu sokongan emosi dan peluang dalam sukan para untuk membina semula keyakinan.
- Perbincangan mengenai bantuan kewangan jangka panjang dan penilaian semula kemudahan pengangkutan atlet termasuk kenderaan bersama pemandu.
Timbalan Presiden MOM, Datuk Dr. Nur Azmi Ahmad berkata, antara perkara yang akan diteliti ialah kemungkinan rawatan susulan di Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka selepas Hafizuddin selesai menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), selain keperluan keluarganya.
Menurutnya, keadaan atlet berusia 22 tahun itu kini stabil, namun sokongan berkaitan amat penting bagi membantu beliau menghadapi kesan kemalangan berkenaan.
“Keadaan beliau stabil, namun kehilangan anggota badan mungkin memberi sedikit tekanan emosi kepadanya. Walaupun beliau masih boleh bercakap dan tersenyum, kita tidak tahu apa yang dirasainya.
“Kita perlu memberikan semangat sepenuhnya serta membantu beliau meneroka peluang dalam sukan para bagi membina semula keyakinannya,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melawat Hafizuddin di HKL, di sini, hari ini.
Datuk Dr Nur Azmi memaklumkan, bantuan kewangan bagi menampung kos rawatan jangka panjang akan dibincangkan bersama Presiden dan Jawatankuasa Eksekutif MOM dalam mesyuarat akan datang.
Muhammad Hafizuddin yang meraih pingat emas kategori 88 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, terbabit dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), di sini.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan MSN menilai semula kemudahan pengangkutan atlet, termasuk penyediaan kenderaan bersama pemandu bagi mengurangkan keperluan atlet menggunakan kenderaan sendiri.
“Kebajikan atlet merupakan keutamaan, terutama atlet muda seperti Hafizuddin.
“Insya-Allah, kita akan berbincang bersama MSN, ISN dan MOM untuk mengenal pasti kaedah terbaik membantu atlet negara yang berdepan situasi seperti ini,” katanya.