Sivasangari sasar kelompok tiga terbaik dunia menjelang LA28

S. Sivasangari / Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 November – Jaguh skuasy negara, S. Sivasangari, menyasarkan untuk menembusi kelompok tiga terbaik dunia dalam usaha mempergiat persiapannya bagi penampilan sulung pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

RINGKASAN BERITA AI
  • Konsistensi prestasi menjadi kunci; perlu mengekalkan tahap terbaik sepanjang 15 hingga 16 kejohanan setiap musim.
  • Berpangkalan di Prague, beliau giat memperbaiki ranking antarabangsa dengan sokongan jurulatih, keluarga dan penaja.
  • Kemenangan pingat emas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dianggap pencapaian penting dan memberi inspirasi kepada anak muda Malaysia.

Setelah berjaya mendaki ke kedudukan keempat dunia iaitu pencapaian terbaik dalam kerjayanya setakat ini, atlet berusia 27 tahun itu berkata meningkatkan konsistensi menjadi kunci utama untuk menembusi kelompok tiga terbaik serta merapatkan jurang dengan pemain elit dunia.

Menurutnya, persaingan pada peringkat tertinggi kini semakin sengit memandangkan pemain terus meningkatkan taraf permainan masing-masing dan beliau perlu mengekalkan prestasi yang tinggi sepanjang musim.

“Sasaran saya musim ini adalah untuk menembusi kelompok tiga terbaik. Bagi saya, konsistensi dalam permainan adalah sangat penting kerana pemain-pemain dalam kelompok tiga terbaik dunia mampu mengekalkan tahap prestasi yang sangat baik sepanjang musim.

“Saya menyertai kira-kira 15 hingga 16 kejohanan dalam satu musim, jadi saya perlu memastikan tahap prestasi tersebut dapat dikekalkan dalam setiap kejohanan,” katanya kepada Bernama menerusi temu bual dalam talian yang diatur Milo di sini, hari ini.

Sivasangari, yang kini berpangkalan di Prague, Republik Czech, mengakui bahawa usaha untuk membaiki ranking bukanlah sesuatu yang mudah terutamanya memandangkan beliau berhasrat untuk melangkaui kumpulan lima terbaik dunia dan mencabar pesaing yang lebih kuat.

Beliau bagaimanapun tetap yakin untuk terus mencatat kemajuan dengan sokongan jurulatih, keluarga dan penajanya, sambil terus fokus pada matlamat utama untuk menjadi pemain nombor satu dunia.

Sivasangari menyifatkan kejayaan membawa pulang pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, yang melayakkannya ke temasya LA28, sebagai satu pencapaian penting dalam musim yang cukup bermakna buat dirinya.

Memandangkan skuasy bakal membuat penampilan julung kali di Sukan Olimpik Los Angeles, atlet itu berkata meraih pingat emas Olimpik kini menjadi aspirasi terbesar dalam kerjayanya, meskipun beliau sedar masih banyak usaha yang perlu dilakukan dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Saya gembira dan bangga dengan peningkatan yang telah saya capai pada musim ini, terutamanya kejayaan memenangi pingat emas Sukan Asia dan melayakkan diri ke LA28. Namun, masih banyak matlamat yang perlu dicapai dan impian terbesar saya adalah untuk memenangi pingat emas Olimpik,” katanya.

Beliau turut berharap agar Malaysia dapat memperoleh lebih banyak slot untuk skuasy di LA28, berikutan negara telah pun mengesahkan penyertaan dalam acara wanita dan lelaki hasil kelayakan beliau sendiri serta kejayaan Ng Eain Yow meraih pingat emas di Sukan Asia.

Dalam pada itu, atlet kelahiran Kedah itu berharap perjalanan kerjayanya dapat memberikan inspirasi kepada lebih ramai anak muda Malaysia untuk menceburi bidang sukan yang menurut beliau membantu memupuk disiplin, membentuk sahsiah dan membina keyakinan diri, walaupun bagi mereka yang tidak berhasrat untuk menjadi profesional dalam bidang tersebut. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.