‘Hafizuddin sudah sedar, tersenyum’ – Presiden PABM

Muhammad Hafizuddin Roslin, 22, yang lebih dikenali sebagai Udin terbabit dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pada Isnin/ MSN

KUALA LUMPUR, 19 November- Atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin, 22, kini berada dalam keadaan sedar dan stabil selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan kemalangan motosikal yang mengakibatkan tangan kanannya terpaksa dipotong.

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden PABM berkata Hafizuddin sudah sedar dan tersenyum.
  • Beliau menjalani pembedahan amputasi tangan kanan di atas siku bagi menyelamatkan nyawanya.
  • PABM sifatkan kejadian satu kejutan dan kehilangan besar kepada sukan angkat berat negara.
  • PABM meneliti peranan masa depan termasuk jurulatih, manakala kerajaan sedia menanggung kos rawatan.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata keadaan fizikal Hafizuddin semakin baik, tiga hari selepas kemalangan berkenaan.

“Beliau sudah sedar dan tersenyum,” katanya kepada AFP hari ini.

Hafizuddin menjalani pembedahan amputasi tangan kanan pada bahagian atas siku susulan kecederaan serius dalam kemalangan itu, menurut laporan media tempatan.

Datuk Ayub berkata insiden berkenaan memberi kesan besar terhadap masa depan Hafizuddin dalam sukan angkat berat.

“Secara fizikal, keadaannya semakin baik, namun insiden ini memberi kesan besar terhadap masa depannya,” katanya.

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai “satu kejutan dan kehilangan besar” kepada sukan angkat berat negara.

Hafizuddin meraih pingat emas acara 88 kilogram pada Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, pada Julai lalu dan sebelum ini dilihat sebagai prospek negara ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Sementara itu, Datuk Ayub berkata pihaknya sedang meneliti peluang untuk Hafizuddin terus terlibat dalam sukan angkat berat termasuk menerusi peranan sebagai jurulatih pada masa hadapan.

Kerajaan sebelum ini turut menyatakan kesediaan menanggung sepenuhnya kos rawatan dan perubatan atlet berkenaan.

Terdahulu, Hafizuddin, yang lebih dikenali sebagai Udin terbabit dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) ketika dalam perjalanan dari Ampang menuju ke Bukit Jalil kira-kira 11.28 malam Isnin lalu.

Tindakan memotong tangan beliau terpaksa dibuat atas saranan doktor bagi menyelamatkan nyawanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.