MSN Perlis sambut baik jaminan bantuan buat Hafizuddin

(Foto kanan) Dr. Mohammed Taufiq Johari menziarahi Hafizuddin di HKL semalam/ Facebook: KBSMalaysia

KANGAR, 19 November- Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis menyambut baik jaminan yang diberikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memastikan kebajikan atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin terus terpelihara susulan kemalangan jalan raya yang menimpanya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif perlindungan digerakkan melalui kerjasama KBS, MSN, MACE dan Skim Lindung 24 Jam PERKESO.
  • Bantuan termasuk kesinambungan elaun latihan, pembiayaan kos rawatan, manfaat insurans, pampasan pukal dan pencen ilat seumur hidup.
  • MSN Perlis menyelaras pemantauan bersama MSN dan Persatuan Angkat Berat Negeri Perlis di HKL.
  • Komitmen merangkumi sokongan psikososial, rehabilitasi jangka panjang dan perancangan laluan kerjaya baharu selepas pulih.

Pengarah MSN Perlis, Syed Ahmed Najib Syed Abdul Rahman berkata inisiatif perlindungan yang digerakkan menerusi kerjasama KBS, MSN, Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) serta Skim Lindung 24 Jam PERKESO merangkumi pelbagai bentuk bantuan bagi meringankan beban atlet dan keluarganya.

“MSN Perlis menyambut baik dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, KB serta MSN atas tindakan pantas, keprihatinan, dan jaminan perlindungan menyeluruh seperti yang telah diumumkan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Antara bantuan disediakan termasuk kesinambungan elaun latihan, pembiayaan penuh kos rawatan, manfaat insurans, pampasan pukal dan pencen ilat seumur hidup, selain kemudahan penginapan serta makanan kepada ahli keluarga di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beliau berkata MSN Perlis turut menyelaras gerak kerja bersama MSN dan Persatuan Angkat Berat Negeri Perlis bagi memantau perkembangan pemulihan Hafizuddin di hospital berkenaan.

“Tiada apa yang lebih utama pada ketika ini selain memastikan Hafizuddin mendapat bantuan terbaik,” katanya.

Menurutnya, komitmen itu bukan sahaja tertumpu kepada tempoh rawatan, malah merangkumi sokongan psikososial, rehabilitasi jangka panjang serta perancangan laluan kerjaya baharu selepas atlet itu pulih.

“Komitmen kami adalah memastikan kebajikan beliau terus terbela bukan sahaja sewaktu fasa rawatan, tetapi juga menerusi sokongan psikososial, rehabilitasi jangka panjang, serta perancangan laluan kerjaya baharu selepas beliau pulih kelak.

“Hafizuddin merupakan permata sukan Perlis, semangat juang beliau sentiasa menjadi inspirasi buat semua.

“Seluruh warga kerja MSN Perlis dan rakyat negeri Perlis mendoakan agar Hafizuddin dikuniakan kekuatan dan diberikan kesembuhan segera,” katanya.

Hafizuddin, yang lebih dikenali sebagai Udin, kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di HKL.

Terdahulu, atlet kelahiran Perlis itu terbabit dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) ketika dalam perjalanan dari Ampang menuju ke Bukit Jalil kira-kira 11.28 malam Isnin lalu.

Kemalangan itu menyebabkan beliau mengalami patah tulang tangan kanan selain salur darah pada bahagian berkenaan tidak lagi berfungsi.

Tindakan memotong tangan atlet berusia 22 tahun itu juga terpaksa dibuat atas saranan doktor bagi menyelamatkan nyawanya.

Hafizuddin sebelum ini mencipta kejutan apabila meraih pingat emas kategori 88 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, Julai lalu, menerusi angkatan keseluruhan 345 kilogram.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.