
NEW YORK, 19 November- Sebuah lukisan karya Vincent van Gogh terjual pada harga AS$190.4 juta (kira-kira RM800 juta) dalam satu lelongan di New York pada Rabu, sekali gus mencatat rekod harga tertinggi bagi karya pelukis Belanda itu.
- Lukisan "Châtaigniers en fleurs" dihasilkan pada 1890 di Auvers-sur-Oise, Perancis.
- Penjualan berlaku selepas pertikaian antara pemilik dengan waris Samuel Fischer mengenai keadaan penjualan keluarga pada era Nazi.
- Sotheby's mengumumkan persetujuan antara keluarga Blaquier-Arrieta dan semua waris Fischer, mengiktiraf penderitaan keluarga dan menghormati keadilan untuk Gisela Berman Fischer.
Lukisan bertajuk ‘Chataigniers en fleurs’ (Pokok Berangan Berbunga) yang dihasilkan pada 1890 di Auvers-sur-Oise, Perancis itu turut menjadi karya seni paling mahal dilelong setakat musim lelongan ini, menurut rumah lelong Sotheby’s.
Harga itu mengatasi rekod terdahulu bagi lukisan Van Gogh iaitu AS$117.2 juta menerusi penjualan karya ‘Orchard with Cypresses’ pada lelongan Christie’s di New York pada November 2022.
Penjualan lukisan terbaharu itu berlangsung selepas pertikaian antara pemiliknya dengan waris pemilik terdahulu, Samuel Fischer, seorang penerbit berpengaruh dari Jerman.
Fischer memperoleh lukisan itu di Paris pada 1909 sebelum keluarganya menjualnya pada 1936.
Keluarga Blaquier-Arrieta memperoleh lukisan berkenaan pada 1975 dan telah memilikinya selama lebih setengah abad, menurut Sotheby’s.
Pada Selasa, Sotheby’s mengumumkan persetujuan dicapai antara keluarga Blaquier-Arrieta dengan semua waris sah Samuel Fischer berhubung penjualan lukisan Van Gogh itu.
Dalam kenyataan yang disampaikan Sotheby’s, waris Fischer berkata mereka berterima kasih atas rundingan dan kerjasama yang adil dengan rumah lelong berkenaan serta keluarga Blaquier-Arrieta. -AFP