Cubaan dua suspek samun kedai emas lari ke Thailand gagal

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin (tengah) menunjukkan barang emas yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu/Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 19 November – Polis menahan tiga lelaki termasuk dua suspek utama kes samun bersenjata sebuah kedai emas di Batu Enam, dekat sini pada 12 November lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis menahan tiga lelaki termasuk dua suspek utama samun bersenjata di Batu Enam pada 12 November.
  • Dua suspek utama, 26 dan 27 tahun, ditahan di Sanglang Ayer Hitam Kedah ketika cuba melarikan diri ke Thailand.
  • Polis merampas 47 utas gelang tangan emas bernilai lebih RM100,000 dan tiga telefon bimbit.
  • Suspek melarikan tiga dulang barang kemas dianggarkan bernilai RM500,000 dalam kira-kira 13 saat; kedua-dua suspek direman tujuh hari.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata suspek berusia 31 tahun yang ditahan di sebuah rumah di sini pada 15 November dipercayai membantu dua suspek utama kes samun itu melarikan diri.

“Dua suspek utama berusia 26 dan 27 tahun yang ditahan di sebuah penginapan di Sanglang, Ayer Hitam, Kedah pada 6.30 pagi semalam dipercayai cuba melarikan diri ke Thailand namun gagal,” katanya.

Tambah Datuk Mohd Khairi, polis turut merampas 47 utas gelang tangan emas bernilai lebih RM100,000 berserta tiga telefon bimbit.

“Siasatan lanjut masih diteruskan kerana pihaknya tidak menolak kemungkinan sebahagian lagi barangan kemas yang disamun telah dijual atau disembunyikan.

“Hasil soal siasat awal terhadap kedua-dua saspek yang ditahan, mereka dipercayai terlibat secara langsung dalam kejadian samun tersebut. Siasatan juga mendapati terdapat individu lain yang membantu suspek selepas kejadian termasuk dalam usaha melarikan diri agar mengelak daripada dikesan oleh polis.

“Semasa kejadian itu, suspek melarikan tiga dulang barang kemas dianggarkan bernilai RM500,000 dalam masa sangat singkat, iaitu kira-kira 13 saat,” ujarnya.

Beliau berkata kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 25 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.