
MACHANG, 19 November – Dua lelaki tempatan ditahan oleh sepasukan Unit Risikan dan Tindakan Khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan bagi membantu siasatan berhubung pemilikan dan pengendalian barang kawalan bersubsidi tanpa kebenaran.
- Sebanyak 7,650 kilogram minyak masak bersubsidi bernilai RM19,125 dirampas menerusi Operasi Tiris 4.0 di Kampung Teluk Rawa, Labok.
- Pemeriksaan menemui banyak paket minyak satu kilogram disimpan dalam sebuah lori dan di hadapan sebuah rumah.
- Sitaan lanjut termasuk 450 kotak minyak masak serta sebuah lori dan nilai keseluruhan sitaan RM144,125.
- KPDN Kelantan akan terus mempergiat penguatkuasaan dan memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa lain.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan KPDN Kelantan, sebanyak 7,650 kilogram minyak masak bersubsidi bernilai RM19,125 turut dirampas menerusi Operasi Tiris 4.0 (Bersepadu) di Kampung Teluk Rawa, Labok, di sini.
Operasi juga turut mendapat kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor.
Hasil pemeriksaan, pasukan penguat kuasa menemukan sejumlah besar minyak masak paket satu kilogram yang disimpan di dalam sebuah lori dan di hadapan sebuah rumah di kawasan berkenaan.
Pemeriksaan lanjut turut membawa kepada penyitaan 450 kotak minyak masak serta sebuah lori yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Nilai keseluruhan sitaan dalam operasi berkenaan sebanyak RM144,125.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, berkaitan pemilikan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan, pemindahan barang kawalan ke tempat yang tidak dilesenkan serta penjualan secara borong tanpa lesen yang sah.
Sementara itu, KPDN Kelantan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa lain bagi membanteras kegiatan penyelewengan serta penyeludupan barang kawalan bersubsidi yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat.