
TANJUNG KLING, 19 November – Seorang lelaki warga Indonesia berusia 38 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari sebuah bot tunda ketika dalam perjalanan dari Indonesia ke Jeti Tanjung Beruas, Melaka.
- Mayat ditemukan seorang nelayan pada pukul 10.40 pagi berhampiran Jeti Nelayan Kampung Hailam, Pulau Upeh selepas SAR masuk hari ketiga.
- Pasukan bomba membawa mayat keluar dari lokasi penemuan menggunakan bot dari Jeti Sungai Lereh melalui laluan laut.
- Operasi melibatkan BBP Tangga Batu, PPDA, PDRM, APMM dan unit dron JBPM, dengan kawasan pencarian sehingga 13 batu nautika.
Mayat mangsa ditemukan seorang nelayan pada pukul 10.40 pagi tadi berhampiran Jeti Nelayan Kampung Hailam, Pulau Upeh, selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga.
Pasukan bomba kemudiannya bergerak menggunakan bot dari Jeti Sungai Lereh membawa mayat mangsa keluar dari lokasi penemuan, melalui laluan laut.
Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Mohammad Fazzil Mohd Yusof berkata, terdahulu pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada Selasa lalu.
“Mangsa dipercayai terjatuh dari bot tunda MCL Primo 3 ketika dalam perjalanan menuju ke Jeti Tanjung Beruas,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, operasi pencarian melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu yang menjalankan pencarian di sepanjang pesisir pantai Klebang.
Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Melaka Tengah pula melakukan pencarian di perairan Pulau Upeh menggunakan teknik water surface search.
Operasi turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dengan kawasan pencarian meliputi jarak sehingga 13 batu nautika.
Unit dron Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut digerakkan bagi membantu mengesan mangsa.