Saham Big Caring Group dibuka pada RM1.05 pada penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia

Ketika sesi pembukaan dagangan pagi tadi, sebanyak 15.09 juta saham pengendali farmasi itu diniagakan.

KUALA LUMPUR, 19 November – Saham Big Caring Group Bhd susut pada penampilan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia apabila dibuka pada RM1.05 lebih rendah berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) RM1.08.

RINGKASAN BERITA AI
  • 15.09 juta saham Big Caring diniagakan pada sesi pembukaan.
  • Penyenaraian menjadikannya penyenaraian ke-57 tahun ini, permodalan pasaran dianggarkan sekitar RM8 bilion.
  • CEO Lee Meng Chuan optimis terhadap pertumbuhan jangka panjang kerana perubahan gaya hidup dan peningkatan perbelanjaan penjagaan kesihatan.
  • IPO mengumpul hasil kasar RM637.8 juta; RM570.8 juta untuk bayar balik pinjaman, RM30 juta untuk pusat pengedaran baharu.

Ketika sesi pembukaan dagangan pagi tadi, sebanyak 15.09 juta saham pengendali farmasi itu diniagakan.

Penyenaraian syarikat itu menandakan penyenaraian ke-57 di Bursa Malaysia setakat tahun ini dengan anggaran permodalan pasaran sebanyak RM8 bilion.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Lee Meng Chuan berkata, beliau yakin dengan pertumbuhan jangka panjang syarikat berdasarkan perubahan gaya hidup dan corak perbelanjaan pengguna terutamanya bagi produk berkaitan kesihatan.

”Kami jangkakan perbelanjaan dalam sektor penjagaan kesihatan akan terus meningkat. Satu lagi faktor ialah pertambahan penduduk berusia. Seiring pertambahan ini, kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kesihatan juga semakin baik.

”Jadi, seiring perkembangan ini, perbelanjaan mereka untuk mendapatkan produk dan perkhidmatan farmasi juga dijangka meningkat,” jelas beliau dalam sidang media penyenaraian Big Caring Group Bhd di Bursa Malaysia, hari ini.

Tambahnya, terbitan IPO kumpulan itu berjaya mengumpul hasil kasar sebanyak RM637.8 juta dengan kira-kira RM570.8 juta diperuntukkan bagi pembayaran balik pinjaman bank selepas penyenaraian.

Sebanyak RM30 juta atau 4.7 peratus lagi akan digunakan untuk membangunkan pusat pengedaran baharu, manakala bakinya diperuntukkan bagi perbelanjaan penyenaraian.

Sehingga akhir September, Big Caring mengendalikan 668 cawangan runcit di seluruh negara dengan pegangan pasaran sebanyak 24.2 peratus dalam industri farmasi runcit dan penjagaan kesihatan bersepadu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.