
KUALA LUMPUR, 19 November – Jumlah jualan kenderaan atau jumlah volum industri (TIV) di Malaysia meningkat 1.3 peratus kepada 70,519 unit pada Oktober 2026 berbanding 69,609 unit pada bulan sebelumnya, didorong peningkatan jualan kenderaan penumpang dan komersial.
- Jualan kenderaan penumpang naik 4 peratus manakala kenderaan komersial meningkat 8 peratus berbanding September 2026.
- Jualan trak pikap mencapai 3,740 unit, paras tertinggi tahun ini.
- Program BUDI Diesel kerajaan menyokong pemulihan segmen kenderaan komersial.
- Pengeluaran Oktober naik 3 peratus; pengeluaran Jan-Okt meningkat 2 peratus; MAA jangka momentum jualan berterusan.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata jualan kenderaan penumpang meningkat empat peratus manakala kenderaan komersial naik lapan peratus berbanding September 2026.
”Data terkini diterbit MAA menunjukkan, permintaan terhadap kenderaan komersial turut menunjukkan pemulihan dengan jualan trak pikap mencecah 3,740 unit, paras tertinggi tahun ini.
”Program BUDI Diesel kerajaan turut membantu menyokong pemulihan segmen kenderaan komersial,” jelas MAA dalam kenyataannya.
Bagaimanapun, secara tahunan, jumlah jualan kenderaan pada Oktober susut tujuh peratus kepada 70,519 unit berbanding 75,991 unit pada bulan sama tahun lepas.
Jualan kenderaan penumpang merosot tujuh peratus kepada 65,362 unit manakala kenderaan komersial turun sembilan peratus kepada 5,157 unit.
Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, jumlah jualan kenderaan meningkat tiga peratus kepada 673,412 unit berbanding 655,327 unit dalam tempoh sama tahun lepas.
Sementara itu, jumlah pengeluaran kenderaan pada Oktober 2026 meningkat 3 peratus kepada 67,416 unit berbanding 65,564 unit pada Oktober 2025.
Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, pengeluaran keseluruhan meningkat 2 peratus kepada 629,623 unit berbanding 617,693 unit dalam tempoh sama tahun lepas.
MAA menjangkakan momentum peningkatan jualan akan berterusan pada November, disokong prospek ekonomi yang positif serta promosi jualan akhir tahun.