Rohingya harap keputusan ICJ buka jalan pulang ke Myanmar

Pemandangan udara kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh, pada 17 November 2026/ AFP

COX’S BAZAR, 19 November- Pelarian Rohingya di Bangladesh menaruh harapan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Khamis berhubung dakwaan genosid oleh Myanmar terhadap etnik minoriti itu yang diharap dapat membuka laluan kepada keadilan dan kepulangan mereka ke tanah air.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan ICJ penting untuk memastikan pihak bertanggungjawab terhadap kekejaman Rohingya diadili.
  • Keputusan dijangka meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap Myanmar dan mengukuhkan pengiktirafan identiti Rohingya.
  • Gambia membawa kes mengikut Konvensyen PBB mengenai Genosid 1948 atas dakwaan pembunuhan beramai-ramai dan keganasan seksual.
  • Panel 15 hakim meneliti kes selama tujuh tahun; keputusan ICJ tidak mempunyai mekanisme penguatkuasaan.

Keputusan bersejarah itu dinanti lebih sejuta pelarian Rohingya yang kini menetap di kem pelarian Cox’s Bazar.

Ketua Hal Ehwal Kemanusiaan Doctors Without Borders (MSF), Arunn Jegan berkata keputusan itu penting bagi memastikan pihak bertanggungjawab terhadap kekejaman berkenaan diadili.

“Isu utamanya ialah keganasan bersasar dan sistematik terhadap Rohingya pada 2017, dan mereka terus dinafikan hak paling asas di Myanmar serta di seluruh rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Bantuan dan Penghantaran Pulang Pelarian Bangladesh, Mohammed Mizanur Rahman berharap keputusan itu dapat meningkatkan tekanan terhadap Myanmar serta mengukuhkan pengiktirafan identiti Rohingya.

“Kami berharap masyarakat antarabangsa akan terdorong untuk melakukan lebih banyak usaha bagi membantu Rohingya supaya mereka dapat kembali ke tanah air,” katanya.

Kes berkenaan dibawa oleh Gambia berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Genosid 1948, susulan dakwaan kekejaman termasuk pembunuhan beramai-ramai dan keganasan seksual terhadap komuniti Rohingya.

Panel 15 hakim ICJ telah meneliti kes itu selama tujuh tahun bagi menentukan sama ada tindakan Myanmar memenuhi takrif genosid di bawah undang-undang antarabangsa.

Gambia berhujah bahawa keganasan melampau, keganasan seksual yang berleluasa serta serangan terhadap kanak-kanak membuktikan wujud niat untuk menghapuskan kumpulan etnik berkenaan.

Bagaimanapun, Myanmar menafikan dakwaan genosid dan menyatakan operasi ketenteraannya bertujuan menangani pemberontakan kumpulan bersenjata.

Walaupun keputusan ICJ tidak mempunyai mekanisme penguatkuasaan, keputusan yang memihak kepada Gambia dijangka meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap Myanmar. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.