
MIAMI, 19 November- Permainan video popular, ‘Grand Theft Auto VI’ (GTA VI) mula dilancarkan di seluruh dunia pada Rabu dengan menerima pujian meluas daripada pengkritik, sekali gus memenuhi jangkaan tinggi peminat terhadap keluaran yang dinanti-nantikan sejak sekian lama.
- Kembali selepas 13 tahun sejak GTA V (2013) yang mencatat rekod jualan dan jadi antara produk hiburan paling menguntungkan.
- Skor Metacritic 99 daripada 100 menunjukkan penerimaan pengkritik amat positif.
- Firma Omdia jangka jualan GTA VI sekitar AS$3.2 bilion menjelang akhir tahun, memberi impak besar kepada Take-Two.
- Pembangunan lebih lapan tahun, pelancaran ditangguhkan dua kali akibat kebocoran maklumat dan rakaman.
GTA kali terakhir menampilkan edisi utama 13 tahun lalu menerusi GTA V pada 2013 yang mencatat rekod jualan dan muncul sebagai antara produk hiburan paling menguntungkan sepanjang zaman.
Permainan terbitan Rockstar Games itu mula tersedia di New Zealand pada tengah malam waktu tempatan sebelum dilancarkan secara berperingkat di pasaran lain mengikut zon waktu masing-masing.
Platform pengumpul ulasan permainan video, Metacritic memberikan GTA VI skor 99 daripada 100, mencerminkan penerimaan positif pengkritik terhadap permainan berkenaan.
Di forum Reddit rasmi permainan itu, peminat turut memuji peningkatan elemen interaktif termasuk keupayaan pemain menolak jet ski yang terkandas kembali ke dalam air.
Firma analisis Omdia menganggarkan GTA VI mampu menjana jualan sebanyak AS$3.2 bilion menjelang akhir tahun ini untuk Rockstar Games dan syarikat induknya, Take-Two Interactive.
Sementara itu, Joost van Dreunen, profesor di Stern School of Business, Universiti New York, sebelum pelancaran menyifatkan permainan itu sebagai fenomena luar biasa dalam industri hiburan.
“Ini Taylor Swift dalam dunia permainan video,” katanya kepada AFP.
Penganalisis Omdia, James McWhirter pula berkata capaian permainan itu dijangka memberi kesan limpahan terhadap penggunaan perkhidmatan hiburan lain termasuk platform penstriman.
Rockstar Games mengambil masa lebih lapan tahun untuk membangunkan permainan itu yang pelancarannya ditangguhkan sebanyak dua kali susulan beberapa insiden kebocoran maklumat dan rakaman permainan.
GTA VI turut menerima lapan pencalonan bagi anugerah Game Awards yang dijadual berlangsung pada 10 Disember ini. -AFP