JKR giat bersihkan sistem perparitan, kurangkan risiko banjir

Foto KKR

BANTING, 18 November – Kerja pembersihan dan penyelenggaraan sistem perparitan di sepanjang jalan persekutuan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan dipergiat sebagai langkah pencegahan banjir menjelang Monsun Timur Laut (MTL).

RINGKASAN BERITA AI
  • Tumpuan kepada lokasi berisiko tinggi seperti kawasan takungan air, banjir kilat dan berpotensi tanah runtuh.
  • Program JKR dilaksanakan secara berperingkat untuk pembersihan longkang, pembetung dan sistem saliran bagi elak aliran tersekat.
  • Kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan pengoperasian BiGBen dipertingkat bagi mempercepat maklumat dan penyelarasan kecemasan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tumpuan diberikan kepada lokasi berisiko tinggi, termasuk kawasan yang sering mengalami takungan air, banjir kilat dan berpotensi berlaku tanah runtuh.

Menurutnya, pendekatan penyelenggaraan pencegahan itu turut bertujuan melindungi infrastruktur jalan raya daripada kerosakan, selain memastikan laluan kekal selamat untuk pengguna sepanjang musim tengkujuh.

“Kita akan membersihkan longkang-longkang di jalan persekutuan supaya apabila hujan nanti sekurang-kurangnya aliran air itu lancar, tidak bertakung dan tidak menyebabkan banjir di kawasan ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program Perdana Pembersihan Sistem Perparitan Jalan Persekutuan Seluruh Malaysia Sempena Monsun Timur Laut 2026 di Pejabat Pertanian Daerah Kuala Langat, di sini, hari ini.

Program diterajui Jabatan Kerja Raya (JKR) itu dilaksanakan secara berperingkat, bermula di Negeri Sembilan pada 10 November lalu sebelum diperluas ke lokasi lain di seluruh negara.

Pelaksanaannya memberi keutamaan kepada pembersihan awal longkang, pembetung dan sistem saliran bagi mengelakkan aliran air tersekat ketika hujan lebat.

JKR turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menyelaraskan penyelenggaraan sistem perparitan yang saling berhubung mengikut bidang tanggungjawab masing-masing.

Sementara itu, tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana turut dipertingkat melalui Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) bagi mempercepat penyaluran maklumat serta penyelarasan tindakan apabila berlaku kecemasan.

Datuk Seri Alexander berkata, pengoperasian bilik gerakan itu bergantung kepada keperluan semasa, dengan kemudahannya turut dinaik taraf bagi memperkukuh keupayaan pengurusan bencana.

“Cuma kita gerakkan dia apabila adanya keperluan terutama pada hujung tahun ini. Bukan tahun ini sahaja, tahun-tahun sebelum ini juga pun telah ada.

“Pada tahun lepas, peruntukan telah diberi bagi menaik taraf dan memodenkan lagi kelengkapan yang ada di sana,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.