Kehilangan Hawari terus dipantau, KBS komited bantu

Dr Mohammed Taufiq Johari / Foto Fail BERNAMA

PUTRAJAYA, 16 November – Usaha mendapatkan pengesahan rasmi mengenai status pendaki negara, Muhammad Hawari Hashim yang hilang di Gunung Everest, Nepal sejak Mei 2023, terus diberi perhatian menerusi kerjasama pelbagai pihak.

RINGKASAN BERITA AI
  • KBS komited memantau kes dan menyelaras kerjasama untuk mendapatkan kepastian mengenai nasib pendaki OKU pendengaran.
  • KBS mahu pengesahan menyeluruh dan legitimasi serta sentiasa terbuka kepada kerjasama semua pihak.
  • Pendekatan merangkumi semua aspek termasuk kekuatan jentera dengan pemantauan berterusan dari semasa ke semasa.
  • Ekspedisi sama turut menyaksikan kematian Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacob.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kementeriannya komited memantau perkembangan kes berkenaan, selain bersedia menyelaras kerjasama dan menggembleng kepakaran pihak berkaitan bagi mendapatkan kepastian mengenai nasib pendaki orang kurang upaya (OKU) pendengaran itu.

“Kita mahu memastikan adanya legitimasi atau pengesahan secara menyeluruh dan KBS sentiasa terbuka untuk memastikan kerjasama antara semua pihak.

“Ia perlu merangkumi semua aspek termasuk kekuatan jentera dan sebagainya. Kita akan sentiasa memantau dari semasa ke semasa ke arah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Town Hall MADANI Fellowship Bersama Menteri Belia dan Sukan di Menara KBS, di sini.

Muhammad Hawari dilaporkan hilang ketika turun dari Kem 4 selepas berjaya menawan puncak Gunung Everest pada Mei 2023.

Ekspedisi sama turut menyaksikan seorang lagi pendaki negara, Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacob, terkorban ketika melakukan pendakian.

Sementara itu, mengulas pelaksanaan Program MADANI Fellowship 2026, Dr Mohammed Taufiq memaklumkan seramai 75 peserta terpilih daripada 1,400 permohonan yang diterima tahun ini.

Kesemua peserta berkenaan ditempatkan di beberapa kementerian menerusi program yang dijenamakan semula daripada Program Felo Perdana, bagi memberikan pendedahan mengenai pengurusan dan pentadbiran kerajaan.

Menurutnya, maklum balas yang diterima setakat ini amat positif, terutama dari segi sumbangan peserta sepanjang penempatan mereka.

“Setakat ini maklum balas yang kita dapatkan sangat positif. Mereka tidak hanya membantu tetapi mereka juga memberikan idea-idea yang membina untuk setiap kementerian masing-masing.

“Inilah sebenarnya hasrat yang kita harapkan daripada Program MADANI Fellowship 2026 ini,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.