ADTEC Labuan catat kebolehpasaran graduan 93.6 peratus

Foto RTM

LABUAN, 10 November – Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kampus Labuan merekodkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 93.6 peratus pada tahun lalu, sekali gus mencerminkan permintaan tinggi industri terhadap tenaga kerja mahir.

RINGKASAN BERITA AI
  • TVET kini semakin menjadi pilihan lepasan SPM di ADTEC Labuan.
  • ADTEC menawarkan program NOSS: minyak dan gas, kimpalan, penyelenggaraan mekanikal, teknologi komputer, penyejukbekuan dan elektrik.
  • Pelajar diberi sijil profesional (Suruhanjaya Tenaga, CSTP, OGSP), Kad Hijau CIDB, elaun bulanan, penginapan dan makanan; OKU terima elaun khas.

Timbalan Pengarah Latihan ADTEC JTM Kampus Labuan, Mohd Fadli Hamzah berkata, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini semakin menjadi pilihan dalam kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kira-kira 500 pelajar sedang mengikuti program latihan sepenuh masa dan kursus jangka pendek yang berasaskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), selaras dengan keperluan pekerjaan serta industri.

“Antara bidang kemahiran ditawarkan termasuk minyak dan gas, kimpalan, penyelenggaraan mekanikal, teknologi komputer, penyejukbekuan dan penyamanan udara serta elektrik,” katanya kepada pemberita selepas bersiaran di LabuanFM.

Menurutnya, pelajar bukan sahaja memperoleh sijil kemahiran, malah turut dibekalkan sijil profesional berkaitan bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka.

“Ini termasuk sijil Suruhanjaya Tenaga bagi bidang elektrik, sijil Program Pensijilan Juruteknik Servis (CSTP) daripada Jabatan Alam Sekitar bagi bidang penyejukan dan penyamanan udara serta sijil Keselamatan Pasport Am (OGSP) bagi industri minyak dan gas.

“Pelajar dalam bidang pembinaan pula berpeluang memperoleh Kad Hijau Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fadli berkata, pelajar turut menerima kemudahan elaun bulanan RM100, penginapan asrama serta makan dan minum sepanjang tempoh pengajian.

Malah, pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) layak menerima elaun khas sebanyak RM300 sebulan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.