
KOTA BHARU, 10 November – Cubaan menyeludup masuk lebih 1.2 tan beras pelbagai jenama dari Thailand berjaya dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi serbuan di Kampung Kubang Panjang, Tumpat, semalam.
- Anggota PGA mengesan van mencurigakan; pemandu cuba melarikan diri sebelum kenderaan terbabas dan dia ditahan.
- Pemeriksaan menemukan 49 kampit beras pelbagai jenama termasuk Mangga, Nangka, Serindit, Angsa Mas dan Pisang.
- Kes diserahkan kepada Jabatan Kawalselia Padi dan Beras Negeri Kelantan untuk tindakan mengikut Seksyen 20; van turut dirampas.
Dalam operasi kira-kira pukul 4 petang itu, anggota Strike Force Kompeni B, Batalion 7 PGA Kuantan mengesan sebuah van Nissan Vanette dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan di laluan Kota Bharu-Pengkalan Kubor.
Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, pemandu van berkenaan dipercayai cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota polis, sebelum kenderaan dipandunya terbabas di kawasan berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 49 kampit beras seberat keseluruhan 1,216 kilogram, membabitkan lima jenama iaitu Mangga (750 kilogram), Nangka (250 kilogram), Serindit (120 kilogram), Angsa Mas (72 kilogram) dan Pisang (24 kilogram).
“Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang memandu van itu turut ditahan untuk siasatan.” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati beras berkenaan dipercayai dibawa masuk dari Thailand melalui pangkalan haram Pohon Tar, Kuala Jambu sebelum dihantar ke Pasir Puteh.
Kes diserahkan kepada Jabatan Kawalselia Padi dan Beras Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras Negara 1994.
Selain beras bernilai RM4,864, pihak berkuasa turut merampas van yang dianggarkan bernilai RM18,000, menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM22,864.