
KUALA LUMPUR, 9 November – Ancaman serangan siber yang semakin kompleks, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), menuntut tahap kewaspadaan lebih tinggi dalam kalangan pengguna digital.
- Pengguna perlu tingkatkan kewaspadaan walaupun ancaman pada paras sederhana; tanggungjawab bersama pengguna, kerajaan dan penyedia perkhidmatan.
- Jangan panik; kekal berperanan aktif dan bekerjasama dengan kerajaan serta penyedia perkhidmatan untuk kesiapsiagaan menghadapi ancaman.
- Pengguna sering sasaran mudah serangan phishing dan fail ZIP melalui WhatsApp dan Telegram; elakkan membuka pautan atau fail mencurigakan.
- Ikut nasihat rasmi NACSA dan CyberSecurity Malaysia; sokong pengukuhan rangka keselamatan siber termasuk akta dan kerjasama awam swasta.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil berkata, walaupun tahap ancaman siber negara pada paras sederhana, namun pengguna perlu menjadikannya peringatan mengenai kepentingan keselamatan digital dan tanggungjawab bersama dalam menghadapi ancaman berkenaan.
“Paling penting ancaman siber tidak seharusnya mencetuskan panik. Jadi kita (pengguna) memainkan peranan sepenuhnya disertai kesiapsiagaan tertinggi kerajaan dan penyedia perkhidmatan…kebersamaan inilah mampu menepis apa sahaja ancaman,” tegasnya ketika dihubungi RTM.
Menurut beliau lagi, pengguna merupakan antara kelompok paling mudah menjadi sasaran pencerobohan siber sama ada serangan ‘phishin’ atau penyebaran fail ZIP melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram.
Justeru, saya menasihatkan pengguna sentiasa meningkatkan kefahaman dan ilmu mengenai serangan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berpandangan langkah kerajaan memperkukuh kerangka keselamatan siber negara merupakan keputusan tepat termasuk pelaksanaan Akta Keselamatan Siber serta pengukuhan kerjasama antara agensi kerajaan dan sektor swasta.
Beliau turut merujuk kedudukan Malaysia dalam Global Cybersecurity Index 2024 yang berada pada Tier 1 sebagai antara petunjuk keupayaan dan komitmen negara dalam memperkukuh keselamatan siber seiring amalan yang dipraktikkan di seluruh dunia.
“Sehubungan itu, pengguna disaran sentiasa mengikuti nasihat rasmi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia serta mengelak membuka pautan atau fail mencurigakan bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa serangan siber,” ujar beliau lagi.