Juadah air tangan jiran Melayu meriahkan sambutan Deepavali Mek Kelate Mek Manis

Mek Kelate Mek Manis

KOTA BHARU, 8 November -Sambutan perayaan Deepavali keluarga pempengaruh, G. Thanaletchumi atau lebih dikenali sebagai Mek Kelate Mek Manis, diserikan dengan pelbagai juadah istimewa hasil air tangan jirannya berbangsa Melayu, sekali gus meneruskan tradisi setiap kali perayaan itu disambut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sambutan Deepavali tahun ini lebih meriah selepas keluarga berehat tahun lalu susulan kematian ibu mentua.
  • Jiran dan rakan membantu persiapan, termasuk memasang khemah, mencuci kambing dan mengemas rumah.
  • Tetamu pelbagai kaum hadir; pengunjung seperti Nor Hamidi bawa keluarga untuk mengenali dan memberi pendedahan budaya India di Kelantan.

Antara menu utama yang disediakan pada tahun ini ialah nasi minyak, gulai kambing, rendang ayam ala India serta pelbagai jenis kuih-muih.

Thanaletchumi berkata, sambutan Deepavali kali ini lebih meriah berbanding tahun lalu apabila mereka sekeluarga tidak menyambut perayaan itu susulan kematian ibu mentuanya.

Tetamu yang hadir memeriahkan sambutan Deepavali tahun ini tidak hanya kaum India, sebaliknya kaum Melayu, Cina dan Siam.

“Persediaan Deepavali tahun ini lebih meriah sedikit berbanding tahun lalu kerana kami sekeluarga tidak menyambutnya susulan kematian ibu mentua saya.

“Tahun ini, mereka mencadangkan agar sambutan diadakan lebih meriah bagi memperingati arwah. Kami turut memasang khemah dan sejak semalam, sudah menjemput jiran-jiran untuk membantu membuat persiapan, termasuk mencuci kambing dan mengemas rumah.

“Jiran-jiran juga sudah maklum bahawa setiap kali Deepavali, rumah kami pasti dikunjungi ramai tetamu daripada pelbagai kaum, termasuk Melayu, Cina dan Siam, bagi bersama-sama meraikan perayaan ini,” katanya kepada pemberita RTM.

Beliau berkata, dia turut berasa bangga dan gembira kerana ada rakan-rakan Melayu menghubungi untuk turut serta memeriahkan sambutan Deepavali bersama keluarganya.

Sementara itu, tetamu yang hadir, Nor Hamidi Muhammad Nazir, berkata, kunjungan bersama isteri dan tiga anaknya ke rumah Thanaletchumi memberi peluang kepada mereka mengenali dengan lebih dekat budaya masyarakat India di Kelantan.

Katanya, Thanaletchumi merupakan satu-satunya rakan berbangsa India yang dikenalinya, jadi sempena sambutan Deepavali, dia hadir memeriahkan sambutan.

Pada masa sama, dia juga mahu memberi pendedahan kepada anak-anaknya mengenai budaya kaum lain.

“Orang ramai boleh datang beraya ke rumah Mek untuk melihat sendiri suasana sambutan Deepavali di Kelantan. Ini merupakan pengalaman baharu buat saya kerana tahun ini adalah kali pertama saya menyambut Deepavali di rumah Mek.

“Kami mula berkenalan menerusi media sosial dan Mek merupakan antara sahabat saya berbangsa India. Saya menghubunginya menerusi WhatsApp untuk bertanya sama ada boleh datang beraya kerana saya ingin melihat suasana sambutan Deepavali di Kelantan, selain memberikan pendedahan kepada anak saya,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.