
JASIN, 8 November – Masyarakat Orang Asli di Kampung Gapam Baru, Selandar berharap pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas yang dinikmati ketika ini dapat diteruskan, selain kebajikan penduduk terus diberi perhatian oleh kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
- Pengiktirafan pelbagai perubahan positif: bekalan elektrik, air bersih dan perumahan telah diperbaiki.
- Permintaan agar wakil rakyat kerap turun padang untuk menyiasat rumah dan memastikan bantuan disalurkan secara adil.
- Harapan bantuan diteruskan khususnya untuk keluarga tanpa rumah dan sokongan pendidikan bagi kejayaan anak-anak.
Penduduk mengakui pelbagai perubahan positif telah dilaksanakan di kampung berkenaan, khususnya dari segi penyediaan bekalan elektrik, air bersih dan perumahan yang sebelum ini menjadi antara kekangan utama kehidupan mereka.
Bagaimanapun, mereka berharap pembangunan dapat terus dipertingkatkan, terutama bagi membantu keluarga baharu yang masih berdepan kekurangan tempat tinggal serta kemudahan infrastruktur.
Mereka turut berharap wakil rakyat yang diberikan mandat kelak lebih kerap turun padang bagi meninjau sendiri keperluan penduduk, sekali gus memastikan setiap bantuan disalurkan secara adil dan menyeluruh.
Penduduk, Suraya Sree Mohan berkata, wakil rakyat perlu lebih kerap mengunjungi kampung dan meninjau sendiri keadaan setiap rumah bagi mengenal pasti keperluan penduduk.
“Melawat kampung, turun padang macam itu, melawat dan tengok mana yang kurang kerana kadang-kadang ada perkara yang tidak nampak. Jadi, wakil rakyat kena turun padang dan menyiasat keadaan setiap rumah. Itulah yang saya harapkan.
Kalau orang lain dapat tempat berteduh, kita pun dapat berteduh sedikit, jadilah,” katanya.
Sementara itu, Achau Pendek berharap kerajaan baharu dapat membantu keluarga yang masih belum mempunyai rumah supaya mereka turut menikmati kemudahan tempat tinggal.
“Ada rumah, tetapi ada keluarga-keluarga baharu yang tidak mempunyai rumah dan tempat tinggal. Jadi, kita harapkan kerajaan baharu ini, kalau boleh, kita mohon kemudahan itu diberikan.
“Kita minta semua orang kita dapat merasainya,” katanya.
Dalam pada itu, Malam Jagung berharap bantuan kerajaan dapat diteruskan, khususnya bagi memastikan anak-anak penduduk kampung mendapat peluang pendidikan dan berjaya pada masa hadapan.
“Teruskanlah membantu kami, termasuk anak-anak yang bersekolah. Semoga mereka berjaya pada masa hadapan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Surina Anak Gani berharap wakil rakyat yang dipilih kelak sentiasa mesra dengan masyarakat dan peka terhadap isu setempat.
“Wakil rakyat perlu betul-betul mesra dengan rakyat dan prihatin terhadap isu tempatan. Paling penting, sesiapa yang terpilih nanti, semoga dapat membawa Melaka ke arah yang lebih maju,” katanya.