
KUCHING, 8 November – Surau Darul Ikhtiar di Kampung Rampangi Fasa 2 di sini kini dilengkapi kemudahan lebih baik menerusi projek naik taraf bernilai RM499,377 di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
- Projek naik taraf siap tiga minggu lebih awal, diselesaikan dalam 15 minggu.
- Penambahbaikan meningkatkan keselesaan jemaah dan menyediakan ruang untuk aktiviti kemasyarakatan serta mengeratkan hubungan penduduk.
- Penglibatan ABM Sarawak menerapkan kemahiran TVET dalam pembinaan, membolehkan penerapan kepakaran teknikal dan pembangunan komuniti.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, projek berkenaan berjaya disiapkan tiga minggu lebih awal daripada jadual asal, iaitu dalam tempoh 15 minggu.
Beliau berkata penambahbaikan itu bukan sahaja meningkatkan keselesaan jemaah untuk beribadah, malah menyediakan ruang tambahan bagi pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan dan mengeratkan hubungan penduduk setempat.
“Alhamdulillah, Surau Darul Ikhtiar akan terus berfungsi sebagai rumah ibadah, dengan ruang tambahan untuk kegunaan aktiviti komuniti.
“Saya berharap Surau Darul Ikhtiar ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk Kampung Rampangi Fasa 2 dan komuniti setempat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI KPWKM 2026 di Kampung Rampangi Fasa 2 di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, penglibatan Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sarawak dalam projek berkenaan turut membuka ruang kepada penerapan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) dalam pembangunan komuniti.
Nancy berkata ABM Sarawak melaksanakan kerja pembinaan lantai baharu surau itu dengan kos RM90,000 menerusi kerjasama strategik bersama institusi pendidikan dan latihan berkenaan.
Penglibatan ABM Sarawak itu memperlihatkan penggunaan kepakaran teknikal dan kemahiran TVET dalam pelaksanaan projek kemudahan awam, sekali gus memberi sumbangan langsung kepada pembangunan komuniti setempat.