
KUALA LUMPUR, 8 November – Sebanyak 763 penduduk terjejas banjir di Selangor masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) manakala 389 individu di PPS di Perak, pagi ini.
- Tujuh PPS Selangor di Kuala Selangor, Shah Alam dan Klang; PPS utama SK Parit Mahang (291) dan SK Dato' Maharaja Lela (211)
- Di Shah Alam, Dewan Siantan dan Dewan Kenanga menempatkan 47 dan 38 penduduk; Klang Dewan Masjid Al-Taqwa menempatkan 32
- Perak: PPS Dewan MPTI Langkap menempatkan 138 penduduk; Dewan Rumah Rehat MPTI pula 251 individu
- Sebanyak 26 orang (tujuh keluarga) terjejas akibat ribut berlindung di Dewan Komuniti Manjung; MetMalaysia ramal hujan dan ribut petir
Di SELANGOR, InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan, 763 penduduk daripada 216 keluarga ditempatkan di tujuh PPS, iaitu di Kuala Selangor, Shah Alam dan Klang setakat 8 pagi ini.
Empat PPS di Kuala Selangor ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang yang menempatkan 291 individu daripada 81 keluarga, SK Dato’ Maharaja Lela (211 orang, 65 keluarga), Sekolah Agama Batu 8 Ijok (73 orang, 20 keluarga) dan SK Jaya Setia (71 orang, 21 keluarga).
Di Shah Alam, sebanyak 47 penduduk daripada 11 keluarga ditempatkan di Dewan Siantan Kampung Melayu Subang manakala Dewan Kenanga Pejabat Daerah dan Tanah Petaling melibatkan 38 penduduk daripada 10 keluarga.
Sebuah PPS di Klang, iaitu Dewan Masjid Al-Taqwa, Bukit Kapar menempatkan 32 individu daripada lapan keluarga.
Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan sebanyak 138 penduduk terjejas ditempatkan di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap di Hilir Perak manakala di PPS Dewan Rumah Rehat MPTI sebanyak 251 individu daripada 75 keluarga.
Sementara itu, sebanyak 26 orang daripada tujuh keluarga yang terjejas akibat ribut masih berlindung di PPS Dewan Komuniti Manjung.
Mereka terdiri daripada penduduk Pekan Beruas, Taman Beruas, Taman Desa, Perumahan Awam, Taman Seri Delima, Taman Limau Emas, Taman Anggerik, Kampung Kilang, Kampung Dendang dan Kampung Paya Lima.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan dan ribut petir di semua daerah di Perak pada petang serta malam hari ini. – BERNAMA