
KUALA LUMPUR, 5 Novermber – Pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dinasihatkan merancang perjalanan mengikut Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bersempena perayaan Deepavali 2026 bagi mengelakkan kesesakan.
- Petugas lebuh raya bersedia sepanjang tempoh perayaan untuk bertindak segera sekiranya berlaku kecemasan.
- Berhati-hati di kawasan pembinaan lorong tambahan; patuhi papan tanda, arahan lalu lintas dan had kelajuan.
- Manfaatkan waktu perjalanan bebas antara pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi untuk mengurangkan kesesakan.
- Elakkan kenderaan ringan memasuki Plaza Tol Gombak semasa waktu puncak bas ekspres; semak maklumat trafik melalui LPT-Line atau X @LPTTrafik.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif AFA PRIME Berhad, Ahmad Faizi Latifi Ahmad Faiz berkata, pihaknya komited memastikan perjalanan pengguna lebih selamat, termasuk dengan menyediakan petugas bagi menangani kecemasan sepanjang tempoh perayaan.
“Deepavali merupakan musim cuti bersama dan komitmen kami adalah memastikan setiap keluarga tiba dengan selamat,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau turut mengingatkan pengguna supaya berhati-hati ketika melalui kawasan pembinaan lorong tambahan di Lebuhraya KL-Karak, selain mematuhi papan tanda, arahan lalu lintas dan had kelajuan.
“Kami menyeru semua pengguna mematuhi arahan dan papan tanda lalu lintas di kawasan kerja, mengurangkan kelajuan dan memandu dengan lebih berhati-hati.
“Petugas kami bersedia di sepanjang kedua-dua lebuh raya sepanjang tempoh perayaan dan akan bertindak segera sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.
Bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang pada 7 November, pengguna ke Pahang disaran bertolak antara pukul 12 tengah hari hingga 4 petang atau 8 malam hingga 11 malam.
Pengguna ke Terengganu pula dicadangkan bertolak antara pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari atau pukul 8 malam hingga 11 malam, manakala perjalanan ke Kelantan disaran antara pukul 6 pagi hingga 9 pagi atau pukul 5 petang hingga 8 malam menerusi Plaza Tol Gombak.
Bagi perjalanan pulang (9 November), pengguna dari Pahang disaran bertolak antara pukul 7 pagi hingga 10 pagi atau pukul 7 malam hingga 11 malam menerusi mana-mana plaza tol.
Pengguna dari Terengganu pula dicadangkan memasuki Plaza Tol Jabor antara pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari atau pukul 8 malam hingga 10 malam, manakala dari Kelantan menerusi Plaza Tol Bentong antara pukul 4 petang hingga 8 malam atau pukul 9 malam hingga 12 tengah malam.
Ahmad Faizi turut menyarankan pengguna memanfaatkan waktu perjalanan bebas antara pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi pada kedua-dua tarikh berkenaan bagi mengelakkan kesesakan.
Dalam pada itu, kenderaan ringan dinasihatkan mengelak memasuki Plaza Tol Gombak ketika waktu puncak bas ekspres, iaitu antara pukul 9.30 pagi hingga 12 tengah hari serta pukul 9.30 malam hingga 12 tengah malam.
Maklumat trafik terkini boleh diperoleh menerusi talian LPT-Line di 1-700-818-700 atau akaun X @LPTTrafik.