ICRC hantar empat trak bekalan perubatan ke bandar Taiz

Foto fail/AFP

GENEVA, 5 November –Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) menghantar bekalan perubatan ke bandar Taiz, Yaman, pada Rabu buat pertama kali dalam beberapa minggu selepas bandar itu dikepung kumpulan Houthi.

RINGKASAN BERITA AI
  • ICRC hantar empat trak bekalan perubatan termasuk peralatan pembedahan untuk membantu rawatan kecederaan akibat senjata.
  • Houthi dilaporkan mengepung Taiz sejak awal Oktober dan menyekat jalan yang menghubungkan bandar itu dengan Aden.
  • PBB memberi amaran tentang kemerosotan kemanusiaan akibat sekatan kemasukan bekalan asas.
  • Bekalan semakin berkurangan; pengeluaran air separuh, harga makanan naik sekurang-kurangnya 50%, hospital kekurangan bahan api dan ubat-ubatan.

Dalam satu kenyataan, ICRC memaklumkan sebanyak empat trak bekalan perubatan penting dihantar, termasuk peralatan pembedahan bagi membantu hospital merawat pesakit yang cedera akibat senjata.

Houthi dilaporkan mengepung Taiz sejak awal Oktober, selain menyekat jalan yang menghubungkan bandar itu dengan Aden, pusat sementara kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dan disokong Arab Saudi.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berulang kali memberi amaran mengenai kemerosotan keadaan kemanusiaan di Taiz, susulan sekatan kemasukan bekalan asas. Bagaimanapun, kumpulan Houthi menafikan mengepung bandar berkenaan.

Ketua Bantuan Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher, pada Isnin menggesa pihak yang bertelagah membuka laluan jalan raya bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar ke Taiz.

Beliau berkata, bekalan semakin berkurangan, pengeluaran air merosot sebanyak separuh, manakala harga makanan meningkat sekurang-kurangnya 50 peratus.

Hospital turut berdepan kekurangan bahan api dan ubat-ubatan.

Beliau menegaskan, orang awam tidak seharusnya dijadikan tebusan akibat konflik, sambil menggesa laluan bantuan dibuka segera bagi membolehkan bekalan makanan dan perubatan disalurkan kepada penduduk terjejas. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.