Berdepan Seksyen 302 KK, lelaki didakwa membunuh warga emas peneroka FELDA

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan semula kes./ RTM

KOTA TINGGI, 3 November – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Pengerang, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang peneroka warga emas di FELDA Lok Heng Selatan, di sini, pada 26 Oktober lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala dan kedua belah lengan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
  • Tertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, membawa hukuman mati atau alternatif penjara hingga 40 tahun dan minimum 12 sebatan.
  • Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin; sebutan semula ditetapkan 7 Januari untuk mendapatkan laporan kimia, patologi, DNA dan bedah siasat.

Tertuduh, Muhammad Iskandar Sentot, 35, bagaimanapun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Shuhada Shamsudin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Mohd Ariff Md Yusoff, 68, di hadapan sebuah rumah di Jalan Bersatu, FELDA Lok Heng Selatan, Pengerang, kira-kira pukul 7.20 malam.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta kedua-dua belah lengan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, jika tidak dihukum mati, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 40 tahun dan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nursyafiq Abd Halim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia, patologi, DNA, rekod kesihatan mental serta bedah siasat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.