
PAYA RUMPUT, 31 Oktober – Dewan Undangan Negeri (DUN) N13 Paya Rumput menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
- Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengesahkan semua kertas penamaan diterima, tiada penolakan.
- Datuk Rais Yasin tidak mempertahankan kerusi itu; beliau bertanding di DUN Sungai Udang.
- Tempoh berkempen 14 hari hingga 13 November; pengundian 14 November; pengundian awal 10 November.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ts. Safuan Effendy Mat Ghani mengesahkan, tiga calon yang bertanding termasuk Datuk Azman Abidin daripada PH, Rafie Ahmad mewakili PN dan Abdul Rashid Abu Bakar daripada BERSAMA.
“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan dan berpuas hati. Saya memutuskan tiada kertas penamaan yang ditolak,” katanya ketika mengumumkan keputusan calon yang bertanding bagi kerusi DUN berkenaan, di sini.
Sebelum ini, DUN Paya Rumput disandang Datuk Rais Yasin daripada BN.
Bagaimanapun, bagi PRN Melaka ke-16, beliau bertanding di DUN Sungai Udang.
Sejurus proses penamaan calon selesai, tempoh berkempen bermula selama 14 hari hingga 11.59 malam pada 13 November.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian, manakala pengundian awal dijadualkan pada 10 November.
Seramai 687,697 pemilih layak mengundi pada PRN Melaka kali ini, membabitkan 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera dan pasangan serta 2,762 anggota polis.