Ligue 1: Hakimi ledak tiga gol, PSG benam Le Havre 5-1

Foto / AFP

PARIS, 31 Oktober – Bintang Maghribi, Achraf Hakimi mempamerkan aksi cemerlang apabila meledak hatrik untuk membantu Paris Saint-Germain (PSG) membelasah Le Havre 5-1 dalam aksi Ligue 1 yang berlangsung pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • PSG bangkit selepas Josh Maja membuka jaringan untuk Le Havre pada minit ke-18.
  • Kemenangan mengukuhkan PSG di puncak liga dengan 20 mata selepas sembilan perlawanan, diikuti Lille (18) dan Rennes (16).
  • Luis Enrique merehatkan beberapa tonggak utama; Ousmane Dembele dan Khvicha Kvaratskhelia terlepas perlawanan akibat kecederaan.

Kemenangan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka di puncak liga.

Pada perlawanan di Le Havre, tuan rumah yang hanya mengumpul dua mata setakat ini mengejutkan PSG apabila penyerang Josh Maja membuka jaringan pada minit ke-18.

Bagaimanapun, PSG bangkit menyamakan kedudukan menerusi pemain sayap Belgium, Mika Godts yang menyempurnakan hantaran lorongan Hakimi pada minit ke-26.

Dua minit kemudian, Hakimi meletakkan PSG di depan menerusi rembatan kencangnya yang menerjah gawang .

Pemain pertahanan Maghribi itu kemudian melebarkan kelebihan PSG kepada 3-1 menerusi sepakan percuma menarik yang menewaskan penjaga gol Le Havre, Arnaud Bodard.

PSG terus menguasai permainan sebelum Senny Mayulu menambah gol keempat pada minit ke-61 menerusi penyudah jarak jauh selepas hasil serangan balas pantas.

Hakimi kemudiannya melengkapkan hatrik pada minit ke-69 menerusi rembatan yang menembusi barisan pertahanan lawan sebelum dikeluarkan oleh ketua jurulatih Luis Enrique sejurus meraikan jaringannya.

Enrique turut merehatkan beberapa tonggak utama termasuk Desire Doue, Vitinha dan Joao Neves, manakala Ousmane Dembele serta pemain sayap Georgia, Khvicha Kvaratskhelia tidak beraksi akibat kecederaan.

PSG kini mengumpul 20 mata selepas sembilan perlawanan, diikuti Lille dengan 18 mata, manakala Rennes di tangga seterusnya dengan 16 mata.

Monaco berpeluang menyamai kutipan mata Lille sekiranya menewaskan Paris FC pada Ahad.

Dalam aksi lain, pencabar terdekat PSG, Rennes tewas 2-5 kepada Nice, sekali gus ketinggalan empat mata, manakala jaringan lewat Olivier Giroud memastikan Lille meraih kemenangan 1-0 ke atas Lens untuk naik ke tangga kedua.

Giroud, bekas juara Piala Dunia dan Liga Juara Eropah yang kini berusia 40 tahun, menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-86 dalam perlawanan sengit itu. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.