
SHAH ALAM, 31 Oktober – Selangor bersedia menyokong penganjuran temasya sukan akan datang menerusi perkongsian kemudahan dan infrastruktur sukan milik negeri, termasuk untuk tujuan latihan atlet.
- Stadium Hoki Selangor boleh dijadikan lokasi latihan bagi pasukan yang bakal menyertai pertandingan.
- Negeri mempunyai kemudahan boling di Sunway dan lokasi untuk sukan bola tampar pantai yang boleh dimanfaatkan.
- Kerajaan negeri menawarkan kerjasama kepada Majlis Sukan Negara sekiranya mahu menggunakan kemudahan sukan Selangor.
- Perkongsian kemudahan membantu persiapan atlet dan memastikan infrastruktur sukan negeri dimanfaatkan secara optimum.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, antara kemudahan yang boleh dimanfaatkan ialah Stadium Hoki Selangor, yang berpotensi dijadikan lokasi latihan bagi pasukan yang bakal menyertai pertandingan.
Menurut beliau, Selangor turut mempunyai beberapa lokasi sukan lain yang boleh dipertimbangkan bagi menyokong persiapan atlet, termasuk kemudahan boling di Sunway serta lokasi bagi sukan bola tampar pantai.
“Kita boleh menawarkan beberapa kemudahan, termasuk Stadium Hoki Selangor, untuk digunakan sebagai lokasi latihan oleh pasukan yang bakal bertanding. Kita juga mempunyai beberapa lokasi lain yang boleh dimanfaatkan.
“Sekiranya Majlis Sukan Negara (MSN) ingin menggunakan kemudahan di Selangor, insya-Allah kita bersedia untuk memberikan kerjasama,” katanya pada Majlis Sanjungan Budi bersempena SUKMA dan Para SUKMA Selangor yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, di sini, pada Jumaat malam.
Tambah Datuk Seri Amirudin, perkongsian kemudahan itu bukan sahaja dapat membantu persiapan atlet menghadapi kejohanan, malah memastikan infrastruktur sukan negeri dimanfaatkan secara optimum.