
MEXICO CITY, 31 Oktober – Pemandu Ferrari, Charles Leclerc menguasai kedua-dua sesi latihan bebas GP Mexico City pada Jumaat, apabila mencatat masa terpantas untuk minggu kedua berturut-turut.
- Leclerc mencatat masa terpantas pada sesi latihan kedua, mengatasi Lando Norris dengan kelebihan 0.103 saat.
- Kimi Antonelli berpeluang menjadi juara dunia termuda dan berpotensi juara pertama dari Itali sejak 1963.
- Max Verstappen mengalami kerosakan selepas bertembung dengan Liam Lawson; Lewis Hamilton terganggu masalah teknikal dan berhenti awal.
Pemandu dari Monaco itu merekodkan masa terpantas satu minit 17.827 saat pada sesi latihan kedua, mengatasi juara dunia McLaren, Lando Norris dengan kelebihan 0.103 saat.
George Russell daripada Mercedes menduduki tempat ketiga, diikuti rakan sepasukannya yang juga pendahulu kejuaraan dunia, Kimi Antonelli.
Antonelli, 20, yang tidak menyertai sesi pada Khamis selepas mengalami jangkitan virus, berpeluang muncul juara dunia termuda dalam sejarah sukan itu pada Ahad.
Pemandu Itali itu juga berpotensi menjadi juara dunia pertama dari negaranya sejak 1963, sekiranya menamatkan perlumbaan dalam kelompok sembilan terbaik.
Beliau turut boleh mengesahkan gelaran sekiranya dua pencabar terdekatnya, Russell dan juara dunia tujuh kali dari Ferrari, Lewis Hamilton, gagal memenangi perlumbaan.
Kejayaan Leclerc itu mengulangi pencapaiannya pada GP Amerika Syarikat di Austin, Texas, minggu lalu apabila turut mendominasi sesi latihan.
Juara dunia empat kali dari Red Bull, Max Verstappen yang juga pemegang rekod lima kemenangan di Mexico, menamatkan sesi di tempat kelima, diikuti rakan sepasukannya, Isack Hadjar.
Verstappen bagamana pun sebelum itu mengalami kerosakan pada jentera selepas bertembung dengan pemandu Racing Bulls, Liam Lawson pada awal sesi.
Arvid Lindblad daripada Racing Bulls menduduki tempat ketujuh, diikuti Pierre Gasly (Alpine), Lawson dan Oscar Piastri (McLaren).
Sementara itu, Hamilton menamatkan sesi di tempat ke-11 selepas jenteranya gagal berfungsi memaksanya menghentikan perlumbaan pada pertengahan sesi.
Sesi berkenaan bermula dengan Gasly mendahului rakan sepasukan Alpine, Franco Colapinto, manakala pelumba tuan rumah Sergio Perez daripada Cadillac turut mengambil bahagian menjelang penampilan ke-300 dalam perlumbaan Formula Satu (F1).
Ferrari menguasai peringkat awal sesi menerusi Leclerc sebelum Norris mengambil alih kedudukan terpantas selepas menggunakan tayar lembut.
Bagaimanapun, Hamilton berdepan masalah teknikal sejurus menukar kepada tayar lembut, sekali gus menamatkan sesi lebih awal dan kehilangan masa penting untuk menguji prestasi tayar berkenaan.
Leclerc kemudian kembali menguasai kedudukan terpantas di hadapan Norris, Russell dan Antonelli sebelum semua pelumba beralih kepada penggunaan bahan api lebih tinggi serta tayar sederhana bagi menguji keadaan jentera menjelang perlumbaan. – AFP