Ribuan mahasiswa sertai demonstrasi, desak Prabowo letak jawatan

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto/ Foto fail REUTERS

JAKARTA, 30 Oktober – Ribuan mahasiswa mengadakan demonstrasi di ibu negara Indonesia pada Khamis bagi mendesak Presiden, Prabowo Subianto meletakkan jawatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Protes didorong oleh kenaikan kos sara hidup, dakwaan rasuah serta kebakaran hutan yang semakin buruk.
  • Mahasiswa berarak ke Istana Negara, kibarkan bendera, laungkan slogan, nyalakan suar merah, sekat jalan, panjat kenderaan, tunjuk isyarat tiga jari.
  • Isu MBG dipersoalkan selepas laporan beberapa kes keracunan makanan, mencetuskan kemarahan terhadap program utama pentadbiran.
  • Tuntutan Tritura: reformasi ekonomi, alam sekitar, pendidikan dan kesihatan; singkir pegawai tidak berkeupayaan; hentikan pegawai pegang pelbagai jawatan; isytihar darurat kebakaran hutan.

Demonstrasi dicetuskan susulan ketidakpuashatian terhadap peningkatan kos sara hidup, dakwaan rasuah dan kebakaran hutan yang semakin memburuk di negara itu.

Protes diketuai mahasiswa daripada Universiti Trisakti, menyaksikan perarakan menuju Istana Negara sambil mengibarkan bendera, melaungkan slogan serta menyalakan suar asap merah.

Sebahagian penunjuk perasaan turut menyekat jalan raya, memanjat kenderaan selain, menunjukkan isyarat tiga jari ketika berhadapan sekatan polis.

Antara isu yang mencetuskan kemarahan mahasiswa ialah pelaksanaan program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG) yang menjadi inisiatif utama pentadbiran Prabowo, merekodkan beberapa laporan kes keracunan makanan.

Seorang penunjuk perasaan, Putu Ramadhan berkata rakyat Indonesia kini berdepan pelbagai kesukaran ekonomi selain berasa terpinggir akibat beberapa masalah yang masih belum diselesaikan kerajaan.

“Harapan saya untuk masa depan ialah pentadbiran Prabowo meletakkan jawatan dalam masa terdekat,” katanya.

Selain itu, mahasiswa turut mengemukakan tiga tuntutan utama yang dikenali sebagai ‘Tritura’, merangkumi reformasi menyeluruh dalam sektor ekonomi, alam sekitar, pendidikan dan kesihatan.

Mereka juga menuntut penyingkiran pegawai yang dianggap tidak berkeupayaan, menghentikan amalan seorang individu memegang beberapa jawatan kerajaan serta mempertahankan prinsip supremasi awam dalam pentadbiran negara.

Selain isu ekonomi dan pentadbiran, peserta demonstrasi mendesak kerajaan mengisytiharkan darurat nasional susulan kebakaran hutan yang memusnahkan kawasan tanah yang luas serta menyebabkan pencemaran asap di beberapa komuniti.

Menurut kumpulan pemantau penyahhutanan, Nusantara Atlas, kebakaran hutan memusnahkan lebih 1.9 juta hektar kawasan sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.

Jerebu rentas sempadan akibat kebakaran itu turut mencetuskan ketegangan dengan negara jiran.

Sementara itu, Kerajaan Indonesia mengakui kekecewaan mahasiswa dan menegaskan isu berkenaan kekal sebagai keutamaan nasional.

Jurucakap kerajaan, Kurnia Ramadhana, berkata lebih 72,000 anggota telah dikerahkan bagi memadamkan kebakaran, dengan sokongan lebih 2,100 petugas kesihatan.

Beliau berkata, sebanyak 5.3 juta pelitup muka turut diagihkan kepada penduduk yang terjejas.-VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.