
KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Situasi banjir di Negeri Sembilan, Perak dan Kedah tidak banyak berubah dengan sebanyak 119 penduduk terjejas masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri berkenaan setakat pagi ini.
- Negeri Sembilan: Dua PPS di Kuala Pilah menempatkan 71 orang daripada 30 keluarga setakat 8.30 pagi.
- Perak: Hujan berterusan di Kerian mengakibatkan 23 orang daripada tujuh keluarga dipindahkan ke PPS SK Titi Serong.
- Kedah: Sebanyak 25 orang daripada lapan keluarga ditempatkan di PPS Dewan Pejabat Penghulu Mukim Bukit Raya di Pendang.
Di NEGERI SEMBILAN, dua PPS dibuka di Kuala Pilah sejak awal pagi tadi membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Undang Johol dan Dewan Orang Ramai Dangi yang menempatkan 71 orang daripada 30 keluarga setakat pukul 8.30 pagi.
Berdasarkan data InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penduduk terjejas terdiri daripada 24 lelaki, 32 wanita termasuk warga emas dan 15 kanak-kanak
Di PERAK, hujan berterusan di daerah Kerian semalam menyebabkan 23 orang daripada tujuh keluarga dipindahkan ke PPS SK Titi Serong yang dibuka lewat petang semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan kesemua penduduk terjejas adalah penduduk dari Taman Aman Sejahtera dan Taman Desa Aman 1 di Titi Serong.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan beberapa kawasan di Perak dijangka mengalami hujan berserta ribut petir petang ini termasuk di daerah Kinta, Kuala Kangsar, Kampar, Manjung, Batang Padang dan Muallim.
Di KEDAH, sebanyak 25 orang daripada lapan keluarga masih ditempatkan di PPS Dewan Pejabat Penghulu Mukim Bukit Raya setakat 8 pagi.
Menurut JPBN Kedah, kesemua penduduk terjejas adalah penduduk dari Kampung Pulai dan Kampung Senggora di Pendang.
Sementara itu, banjir di PERLIS pulih sepenuhnya selepas PPS Dewan Batu 5 yang dibuka sebagai pusat transit pada Isnin lepas ditutup sepenuhnya 9 pagi ini.
Pegawai Pertahanan Awam Unit Kuala Perlis Lt (PA) Muhamad Saiful Abdullah berkata kesemua sembilan orang daripada tiga keluarga yang masih berada di dewan itu setakat 6 petang semalam telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas air surut sepenuhnya.- BERNAMA