KKDW perketat pemantauan, kawal kos projek

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan memberi perhatian kepada perancangan dan pemantauan projek pembangunan bagi memastikan peruntukan Belanjawan 2027 dimanfaatkan mengikut keutamaan serta keperluan sebenar masyarakat desa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perancangan teliti memastikan projek memberi manfaat optimum dan prioritaskan keperluan penduduk, khususnya kemudahan asas.
  • Pemantauan berterusan diperlukan untuk kenal pasti masalah pelaksanaan, punca kelewatan dan peningkatan kos.
  • Perubahan ekonomi global dan kenaikan harga bahan serta mesin menjejaskan kos pembinaan projek infrastruktur luar bandar.
  • Pegawai pengawal perlu menilai semula prioriti perbelanjaan dan guna peruntukan tidak dibelanjakan untuk tampung peningkatan kos.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Suriani Ahmad berkata, perancangan yang teliti penting bagi memastikan projek yang dilaksanakan memberi manfaat optimum kepada penduduk, khususnya dalam penyediaan kemudahan asas.

“Apabila kita mempunyai perancangan yang baik, kita dapat menentukan keutamaan projek berdasarkan keperluan penduduk.

“Ini memudahkan pelaksanaan kerja dan membolehkan kita memberi tumpuan kepada projek yang meningkatkan akses kepada kemudahan asas,” katanya ketika ditemu bual dalam program Bicara Naratif.

Beliau berkata, pemantauan secara berterusan juga diperlukan bagi mengenal pasti masalah pelaksanaan serta punca kelewatan atau peningkatan kos projek.

Menurut beliau, perubahan keadaan ekonomi global dan kenaikan harga bahan mentah serta mesin boleh memberi kesan kepada kos pembinaan, terutama bagi projek infrastruktur luar bandar.

Tambahnya, sebagai pegawai pengawal, beliau perlu menilai semula keutamaan perbelanjaan sekiranya berlaku peningkatan kos, terutama apabila projek berkenaan memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat.

“Pegawai pengawal bertanggungjawab mengenal pasti peruntukan yang bersesuaian dan belum digunakan atau tidak dapat dibelanjakan pada tahun tersebut atas sebab tertentu.

“Peruntukan itu boleh digunakan untuk menampung peningkatan kos berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anuar Ibrahim telah mengumumkan KKDW menerima peruntukan RM12.68 bilion menerusi Belanjawan 2027 bagi menyokong pembangunan desa dan usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar dengan luar bandar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.