
KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberi keutamaan kepada kawasan luar bandar yang mempunyai jurang kemudahan asas paling ketara dalam menentukan pelaksanaan projek pembangunan menerusi Belanjawan 2027.
- Penilaian projek berdasarkan keperluan sebenar penduduk, faktor geografi dan impak terhadap kehidupan masyarakat setempat.
- Kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan peruntukan terhad dimanfaatkan secara berkesan.
- Aspek dinilai termasuk akses jalan, sekolah, kemudahan kesihatan dan peluang ekonomi untuk penduduk pedalaman.
- Faktor bentuk muka bumi mempengaruhi perancangan terutama di Sabah dan Sarawak serta manfaat langsung kepada penduduk.
Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Suriani Ahmad berkata, penilaian dibuat berdasarkan keperluan sebenar penduduk, faktor geografi serta impak projek terhadap kehidupan masyarakat setempat.
Katanya, penentuan keutamaan turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan peruntukan yang terhad dimanfaatkan secara berkesan.
“Kita beri tumpuan kepada kawasan yang mempunyai jurang yang paling dalamlah, yang kemudahan asas dan infrastrukturnya sangat terkebelakang,” katanya ketika ditemu bual dalam program Bicara Naratif.
Menurut beliau, antara aspek yang dinilai termasuk akses kepada jalan raya, sekolah, kemudahan kesihatan dan peluang ekonomi, khususnya bagi penduduk yang tinggal jauh di pedalaman.
Beliau berkata, faktor bentuk muka bumi turut mempengaruhi perancangan projek, terutama di Sabah dan Sarawak yang mempunyai cabaran geografi tersendiri.
Penilaian juga mengambil kira manfaat langsung kepada penduduk, termasuk tempoh perjalanan untuk membawa hasil pertanian ke pasaran serta kemudahan anak-anak ke sekolah.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan KKDW menerima peruntukan RM12.68 bilion menerusi Belanjawan 2027 bagi menyokong pembangunan desa dan merapatkan jurang pembangunan antara bandar dengan luar bandar.