JBPM siap siaga hadapi MTL, 25,000 anggota dikerah

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 29 Oktober – Seramai 25,000 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama 1,250 aset logistik disiapkan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • JBPM memberi tumpuan kepada tiga insiden utama: banjir kilat, tanah runtuh dan kehilangan orang ketika bencana atau aktiviti rekreasi.
  • Peningkatan aset: pengambilan 200 pacuan empat roda, baik pulih kenderaan operasi serta penerimaan dua helikopter AW139 bagi operasi menyelamat.
  • Pelaksanaan MTL Log Day pada 31 Oktober: pemeriksaan silang di 346 balai serta koordinasi rapat dengan MetMalaysia, JPS dan agensi pengurusan bencana.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, persiapan itu memberi tumpuan kepada tiga insiden utama, iaitu banjir kilat, tanah runtuh serta kehilangan orang akibat bencana alam atau aktiviti rekreasi.

“Secara keseluruhannya, seramai 25,000 anggota merangkumi anggota bomba sepenuh masa, pasukan bomba bantuan, serta kira-kira 9,000 anggota bomba sukarelawan telah kita persiapkan untuk digerakkan mengikut pergerakan monsun.

“Persiapan tahun ini turut diperkukuh menerusi penyediaan kira-kira 1,250 aset logistik, selain penambahbaikan kenderaan operasi dan penerimaan aset udara baharu,”katanya kepada RTM hari ini.

Persiapan turut diperkukuh menerusi penerimaan 200 kenderaan pacuan empat roda, selain kerja-kerja baik pulih menyeluruh terhadap 80 kenderaan pengangkut ringan bagi memastikan kesiapsiagaan operasi.

JBPM juga dijangka menerima dua helikopter AW139, dengan unit pertama dijadualkan tiba pada 1 November ini bagi menyokong operasi menyelamat, khususnya ketika bencana banjir.

Beliau berkata, sebanyak 3,681 kawasan hotspot banjir telah dikenal pasti oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). JBPM sentiasa berhubung rapat dengan agensi utama termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), JPS, serta agensi sahabat yang lain.

Selain itu, setiap balai bomba telah diarah untuk sentiasa peka dan bersedia digerakkan berdasarkan arahan daripada Pejabat Daerah selaku Pengerusi Pengurusan Bencana Daerah.

Dalam pada itu, Datuk Seri Nor Hisham menasihatkan orang ramai agar menghentikan sementara aktiviti riadah di kawasan badan air dan perhutanan, terutamanya aktiviti pendakian (hiking) sepanjang musim tengkujuh ini.

Bagi memastikan semua persiapan berada di tahap optimum, JBPM akan melaksanakan semakan silang menyeluruh di seluruh negara pada 31 Oktober ini.

Program yang dinamakan sebagai Monsun Timur Laut Log Day (MTL Log Day) itu akan melibatkan pemeriksaan silang dan pengujian peralatan di kesemua 346 balai bomba, dengan mobilisasi pegawai-pegawai kanan jabatan bagi memastikan setiap aset berada dalam keadaan terbaik sebelum digerakkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.