
KUALA LUMPUR, 29 Oktober – Pengeluar bertanggungjawab sepenuhnya dalam membiayai aktiviti pengurusan, pengumpulan dan pemerolehan semula sisa produk selepas pasca penggunaan.
- Pengeluar bertanggungjawab membiayai pengurusan, pengumpulan dan pemerolehan semula sisa produk selepas penggunaan.
- Pelaksanaan EPR disasarkan menjadi mandatori menjelang 2030 dan kini masih di peringkat sukarela.
- MyEPR dijangka mula beroperasi Disember 2027 untuk memperkukuh pelaporan dan pemantauan data pembungkusan, selari dengan Blueprint Ekonomi Kitaran 2025 hingga 2035.
Ini selaras dengan pelaksanaan Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR) yang disasarkan akan dilaksana secara mandatori menjelang 2030.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, pelaksanaan itu bertujuan mengelakkan beban kewangan berkenaan dipindahkan kepada Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Pelaksanaan EPR ketika ini masih di peringkat sukarela dan belum diwajibkan kepada pengeluar. KPKT turut membangunkan sistem pangkalan data MyEPR yang dijangka mula beroperasi pada Disember 2027 bagi memperkukuh pelaporan dan pemantauan data pembungkusan”, katanya di Dewan Rakyat.
Jelas beliau, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada Blueprint Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal di Malaysia 2025–2035, yang menjadi hala tuju strategik dalam mempercepat peralihan pengurusan sisa pepejal negara ke arah yang lebih mampan.
Tambahnya bagi memastikan pelaksanaan EPR dapat diperluas secara menyeluruh, termasuk di negeri-negeri yang belum menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), KPKT akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pihak berkuasa negeri, PBT dan pemain industri.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Alis Razak, di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, sebanyak 6,256 Fasiliti Pengitaran Semula (FPS) telah pun direkodkan sehingga Ogos 2026 di negeri-negeri yang menerima pakai Akta 672.