
BESUT, 26 Oktober – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Terengganu sudah menghantar bekalan makanan dan barangan keperluan asas ke Pengkalan Hadapan Balai Bomba Sukarela Pulau Perhentian, sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
- Bekalan merangkumi beras, gula dan sardin untuk kegunaan lebih 2,000 penduduk pulau.
- Operasi penghantaran melibatkan kerjasama Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Pejabat Daerah Besut.
- Pengarah Maritim negeri dan pegawai kebajikan daerah hadir untuk memantau dan menyokong pelaksanaan bantuan.
- Kerjasama agensi dan komuniti mencerminkan komitmen menjaga kebajikan serta kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan gangguan bekalan.
Pengarah JKM Negeri Terengganu, Ismail Kasan dalam kenyataan memaklumkan, penghantaran bekalan berkenaan bertujuan memastikan keperluan asas penduduk di pulau berkenaan mencukupi sepanjang tempoh musim tengkujuh.
“Bekalan yang dihantar merangkumi barangan keperluan harian seperti beras, gula dan sardin untuk kegunaan lebih 2,000 penduduk di pulau berkenaan.
“Usaha itu diharap dapat memastikan bekalan makanan mencukupi bagi memenuhi keperluan penduduk setempat sepanjang tempoh berkenaan.
“Operasi penghantaran itu turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi, termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Pejabat Daerah Besut,” menurut kenyatana itu.
Hadir sama, Pengarah Maritim Negeri Terengganu Kepten Maritim Hamiludin Che Awang, Pengarah Maritim Negeri Kelantan Kepten Maritim Kamal Mohamad serta Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Besut Mohd Fazdli Ismail.
Kerjasama erat antara agensi kerajaan dan penduduk setempat ini mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara, khususnya dalam menghadapi kemungkinan gangguan bekalan sepanjang musim Monsun Timur Laut.