
KUCHING, 21 Oktober – Sokongan psikososial akan diberikan kepada murid dan guru sebuah sekolah swasta di sini susulan insiden serangan membabitkan seorang pelajar hingga mencederakan seorang guru.
- JPN Sarawak telah berhubung dengan institusi sekolah dan menegaskan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
- JPN menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak disahkan serta elak kongsi kandungan yang menjejaskan privasi.
- Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan; suspek ditempatkan di wad psikiatri, siasatan dijalankan untuk kenal pasti punca dan bukti.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak memaklumkan, pihaknya telah berhubung dengan institusi berkenaan untuk tujuan tersebut.
“Kami memandang serius kejadian itu yang kini dalam siasatan polis, manakala pihak sekolah akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa,” menurut kenyataan JPN Sarawak.
Dalam kenyataan sama, JPN Sarawak menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi,menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau berkongsi kandungan yang boleh menjejaskan privasi serta kebajikan individu terlibat.
Terdahulu, Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak mengesahkan, pihaknya menahan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun berhubung kejadian berkenaan.
Suspek kini ditempatkan di wad psikiatri Hospital Umum Sarawak bagi tindakan lanjut.
Menurut beliau, pelajar berkenaan menggunakan kapak dan membawa mercun ketika kejadian, sebelum menyerang mangsa hingga cedera.
Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta mendapatkan bukti berkaitan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957.