
KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Kejohanan Ragbi 7 Sebelah (7s) Kebangsaan 2026 menjadi platform utama Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mengenal pasti bakat baharu bagi membentuk skuad terbaik menjelang temasya Sukan SEA 2027.
- Kejohanan tidak membenarkan pemain import, hanya warganegara Malaysia dibenarkan untuk memberi fokus kepada atlet tempatan.
- Majlis Sukan Negara akan menyediakan peruntukan latihan sepenuh masa bermula Januari, memberi kira-kira sembilan bulan persiapan.
- Venue dipindah ke Terengganu kerana kekangan di Lembah Klang, sokongan fasiliti baik serta penjimatan kos; kejohanan dijadual 13 hingga 15 November.
Timbalan Presiden KRM, Mohd Azmir Zainul Abidin berkata, kejohanan edisi kali ini menetapkan syarat ketat dengan tidak membenarkan penyertaan sebarang pemain import demi memberi tumpuan penuh kepada atlet tempatan.
“Untuk kejohanan National 7s ini, memang tidak dibenarkan sebarang pemain import, hanya warganegara Malaysia sahaja ini kerana kita mahu menggunakan kejohanan ini sebagai medan pemilihan ke Sukan SEA tahun depan, jadi fokus kita 100 peratus kepada pemain tempatan.
“Bagi persiapan Sukan SEA, kita difahamkan Majlis Sukan Negara (MSN) akan menyediakan peruntukan latihan sepenuh masa bermula Januari depan, ini memberi tempoh kira-kira sembilan bulan untuk mempersiapkan pasukan terbaik,” katanya dalam sidang media Majlis Undian National 7s 2026 di Wisma OCM di sini, hari ini.
Badan induk itu kini memiliki senarai panjang seramai 21 pemain lelaki dan 21 pemain wanita yang akan dinilai secara berterusan berdasarkan prestasi dan tahap kecergasan semasa.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pertukaran venue pada saat akhir dari Lembah Klang ke Terengganu terpaksa dibuat berikutan kekangan venue yang sesuai di samping sokongan fasiliti yang baik serta dapat mengurangkan kos operasi penganjuran.
“Pada asalnya kita merancang untuk menganjurkannya di Lembah Klang, namun atas faktor luar jangka, kita tidak dapat venue yang sesuai untuk menampung keperluan pasukan.
“Terengganu dipilih kerana memiliki rekod cemerlang selaku tuan rumah sebelum ini, selain bantuan fasiliti dan padang yang dapat menjimatkan kos operasi kami.
“Disebabkan keputusan ini dibuat pada saat akhir, adalah lebih wajar memilih venue yang sudah berpengalaman luas mengendalikan kejohanan ini,” katanya lagi.
Kini sebanyak 39 pasukan mengesahkan penyertaan pada edisi kali ini selain pasukan Sabah yang menarik diri pada saat akhir.
Saingan anjuran KRM itu dijadualkan berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail dan Padang Ragbi Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus dari 13 hingga 15 November depan.
Edisi 2026 turut menampilkan pembaharuan menerusi pengenalan Piala Amir Amri sumbangan Presiden KRM, Amir Amri Mohamad sebagai piala pusingan utama baharu Kategori Lelaki Terbuka menggantikan Piala Ung Khek Cheow, selain menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM33,000 kepada pemenang.