Terbuka Ningbo: Swiatek tarik diri akibat kecederaan

Foto AFP

PARIS, 20 Oktober – Pemain tenis wanita Poland, Iga Swiatek menarik diri daripada Terbuka Ningbo akibat kecederaan, sekali gus menjejaskan peluangnya mengumpul mata penting bagi melayakkan diri ke kejohanan akhir musim WTA, menurut penganjur pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Swiatek menduduki tangga kesembilan dalam perlumbaan ke WTA Finals, bersaing dengan Karolina Muchova dan Marta Kostyuk bagi slot terakhir.
  • Dia mengalami masalah berpanjangan pada paha kiri dan memilih berehat untuk pulih.
  • Kecederaan sama menganggu aksi di Wuhan, tewas kepada Maja Chwalinska; tempatnya diundian digantikan Anastasia Zakharova.

Swiatek, 25, yang menduduki tangga kesembilan dalam perlumbaan ke WTA Finals sebelum kejohanan bertaraf WTA 500 itu di China bermula minggu ini, sedang bersaing dengan pemain Czech, Karolina Muchova di tempat ketujuh dan pemain Ukraine, Marta Kostyuk di tangga ke-10 bagi merebut slot terakhir ke kejohanan berkenaan.

WTA Finals musim ini dijadual berlangsung di Indian Wells dari 8 hingga 15 November.

Muchova tidak beraksi minggu ini, manakala Kostyuk merupakan pilihan ketiga di Terbuka Ningbo.

“Selepas mempertimbangkan dengan teliti, saya memutuskan untuk menarik diri daripada kejohanan ini.

“Saya mengalami masalah berpanjangan pada paha kiri sejak beberapa minggu lalu dan merasakan bahawa memberi diri saya masa untuk berehat serta pulih ialah keputusan yang tepat,” kata juara enam kali Grand Slam itu dalam kenyataan yang dikeluarkan penganjur.

Swiatek turut bergelut dengan kecederaan paha sama ketika tewas kepada rakan senegara, Maja Chwalinska, pada separuh akhir kejohanan di Wuhan minggu lalu.

Chwalinska kemudian muncul juara.

Tempat Swiatek dalam undian Terbuka Ningbo digantikan pemain Russia, Anastasia Zakharova. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.